KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak perlu berpandukan undang-undang, dengan sebarang pertikaian tafsiran perundangan diserahkan kepada mahkamah untuk diputuskan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN dan Jabatan Penjara telah mendapatkan pandangan Peguam Negara susulan perbezaan tafsiran berhubung perintah pelepasan yang dikeluarkan Pendaftar Mahkamah selepas pembayaran denda dibuat.
Menurutnya, kementerian tidak akan mengambil tindakan berdasarkan tafsiran sendiri, sebaliknya memastikan segala keputusan berkaitan pelaksanaan tahanan Najib dibuat mengikut tertib undang-undang.
“Najib berhak untuk mengemukakan pengampunan. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, kuasa itu adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Bahagian kami adalah melaksanakannya sesuai dengan acuan dan tertib undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Semarak Kebudayaan Masyarakat Kedah Bersama PDRM Kedah, hari ini.
Lebih lanjut Saifuddin berkata, selepas pembayaran denda dibuat semalam, KDN merujuk kepada Peguam Negara berikutan wujud perbezaan tafsiran dari sudut undang-undang terhadap Order of Discharge atau perintah pelepasan yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah.
Katanya, rujukan itu dibuat bagi mendapatkan kejelasan mengenai pelaksanaan perintah berkenaan, memandangkan KDN tertakluk kepada nasihat Peguam Negara selaku Penasihat Undang-Undang Kerajaan.
Beliau turut menegaskan kementeriannya telah mengambil semua langkah diperlukan bagi memastikan sebarang keputusan, sama ada daripada Lembaga Pengampunan atau arahan mahkamah, dapat dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.
Mengulas perbezaan pandangan antara Peguam Negara dan pihak pembelaan Najib, Saifuddin berkata, mahkamah merupakan saluran terbaik untuk menentukan tafsiran yang tepat.
“Kalau ada perbezaan begitu, sepertimana nasihat Peguam Negara, pentafsiran yang terbaik harus dibuat di mahkamah.
“Apa pun keputusan, pihak KDN khususnya Jabatan Penjara akan melaksanakan sesuai dengan arahan undang-undang,” katanya.










