DAP Belum Bincang Pengganti Loke

KUALA LUMPUR: DAP belum berbincang mengenai calon pengganti Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan, selagi peletakan jawatan pemimpin itu belum berkuat kuasa.

Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan berkata, sebarang perbincangan mengenai pengganti Loke ketika ini adalah terlalu awal, memandangkan keputusan berundur itu bergantung kepada perkembangan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.

“Buat masa ini peletakan jawatan beliau belum berkuat kuasa selagi Najib tidak jejak kaki ke rumah (jadi) tidak wajar untuk membincangkan soal siapa pengganti.

“Bila tiba masa, keanggotaan Jemaah Menteri adalah prerogatif perdana menteri. Sudah tentu perdana menteri akan buat keputusan selepas berbincang dengan setiausaha agung DAP sendiri,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, Loke mengesahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri akan berkuat kuasa sebaik sahaja Najib tiba di kediamannya untuk menjalani hukuman tahanan rumah.

Beliau berkata, surat asal peletakan jawatan itu telah diserahkan sebelum ini, selain mengadakan perbincangan mengenai perkara berkenaan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

Perkembangan itu menyusul selepas UMNO mengumumkan pelunasan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas presidennya itu hasil kutipan dana menerusi kempen derma yang dilancarkan sejak September lalu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian mengeluarkan perintah pelepasan selepas bayaran denda berkenaan direkodkan.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah wajar ditangguhkan buat sementara waktu bagi meneliti persoalan perundangan berkaitan Perintah Pengampunan serta kesan perintah mahkamah.

BBerkaitan

Latest articles