AGC Nafi Ingkari Titah Agong, Mahu Mahkamah Tentukan Status Hukuman Najib

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, AGC menegaskan tindakan mendapatkan penjelasan mahkamah adalah bagi menentukan kesan undang-undang Perintah Pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November lalu terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International.

Menurut kenyataan AGC pada Sabtu, persoalan berkenaan turut mempunyai kaitan dengan tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diperintahkan bermula selepas hukuman kes SRC International selesai dijalankan.

“AGC menegaskan bahawa ia tidak sama sekali mempertikaikan, mengenepikan atau berhasrat untuk menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“AGC sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong serta mengiktiraf prerogatif pengampunan Baginda sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

AGC berkata, persoalan yang dibangkitkan bukan berkaitan kesahan atau kewibawaan perintah pengampunan berkenaan, sebaliknya mengenai skop dan kesan undang-undang Perintah Pelepasan yang dikeluarkan selepas Najib membayar denda RM50 juta pada tarikh sama.

Perintah tersebut antara lain membenarkan Najib dilepaskan serta-merta selepas pembayaran denda, selain menyatakan beliau perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.

Justeru, AGC menjelaskan terdapat persoalan sama ada pelepasan itu hanya berkaitan pembayaran denda dan membolehkan baki hukuman SRC International diteruskan menerusi tahanan di rumah atau membawa kesan bahawa hukuman berkenaan telah selesai dari segi undang-undang.

Menurut AGC, sekiranya hukuman SRC International masih berkuat kuasa, baki hukuman perlu dilaksanakan selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.

Bagaimanapun, jika hukuman berkenaan telah selesai dari segi undang-undang, kesannya terhadap permulaan hukuman dalam kes 1MDB perlu ditentukan.

“Kuasa pengampunan dan kuasa Mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah adalah dua perkara yang berbeza.

“Mendapatkan keputusan Mahkamah mengenai pelaksanaan sesuatu perintah tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kewibawaan pihak yang mengeluarkan perintah tersebut,” menurut kenyataan itu.

AGC turut menolak dakwaan bahawa tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang itu merupakan percubaan mengambil alih kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, AGC memandang serius penggunaan ungkapan yang menggambarkan tindakan Peguam Negara sebagai penghinaan atau penderhakaan terhadap Seri Paduka Baginda.

“Dakwaan sedemikian adalah tidak berasaskan persoalan undang-undang yang telah dibangkitkan oleh AGC.

“Tanggungjawab untuk memastikan sesuatu titah pengampunan dilaksanakan dengan tepat, selaras dengan perintah Mahkamah yang berkuat kuasa, merupakan sebahagian daripada usaha menjunjung institusi Yang di-Pertuan Agong dan kedaulatan undang-undang, bukannya suatu tindakan mengingkari titah Baginda,” katanya.

AGC turut menegaskan penentuan segera oleh mahkamah penting bagi memastikan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat dan hukuman dalam kes 1MDB dibuat mengikut undang-undang, selain memelihara hak Najib.

Ini kerana, sekiranya mahkamah memutuskan hukuman SRC International telah selesai, penerusan tahanan atas dasar hukuman itu boleh menyebabkan Najib menjalani tahanan melebihi tempoh yang sepatutnya.

Sehubungan itu, AGC berpandangan persoalan berhubung kesan undang-undang Perintah Pelepasan bertarikh 6 November lalu wajar dirujuk segera kepada mahkamah bagi mendapatkan penentuan serta arahan jelas.

AGC menegaskan langkah berkenaan bukan bertujuan melengahkan atau menggagalkan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat, sebaliknya bagi mengelakkan percanggahan dalam pelaksanaan perintah mahkamah serta memastikan tiada hukuman dilaksanakan secara tidak sah.

“AGC kekal komited untuk menjunjung dan melaksanakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, menghormati perintah-perintah Mahkamah dan memastikan setiap hukuman dilaksanakan secara sah, teratur dan tepat,” menurut kenyataan itu.

BBerkaitan

Latest articles