Ahmad Maslan, Pimpinan UMNO Pontian Buat Laporan Polis Isu Penangguhan Tahanan Rumah Najib

PONTIAN: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan bersama beberapa pimpinan bahagian itu membuat laporan polis berhubung penangguhan pelaksanaan tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Benut, Pontian pada jam 12.30 tengah hari, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Wan Mohd Sumali Wan Reduan dan Naib Ketua Bahagian, Jamaludin Abd Majid serta beberapa pimpinan akar umbi kawasan berkenaan.

Tindakan itu dibuat susulan isu penangguhan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.

Dalam kenyataan Istana Negara pada Sabtu, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa perintah berkenaan jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekaburan.

Menurut kenyataan itu, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Najib sebelum Seri Paduka Baginda memperkenankan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.

Istana Negara turut menegaskan bahawa semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat berkenaan telah dipenuhi.

“Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihak yang membuat laporan polis berkenaan berpandangan pelaksanaan tahanan rumah Najib sepatutnya dilaksanakan tanpa sebarang alasan.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan berasingan pada Sabtu menjelaskan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah dibuat bagi mendapatkan kepastian undang-undang berhubung kesan Perintah Pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November lalu.

AGC berkata, persoalan itu melibatkan status baki hukuman Najib dalam kes SRC International serta implikasinya terhadap tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

AGC turut menegaskan pihaknya tidak mempertikaikan atau berhasrat mengetepikan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya mahu mendapatkan penentuan mahkamah bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan undang-undang.

BBerkaitan

Latest articles