UMNO Nafi Mahu Jatuhkan Tuanku Muhriz, Tegaskan Tidak Campuri Urusan Istana

SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan menepis keras dakwaan parti itu berusaha menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sambil menegaskan pendiriannya tidak pernah menyasarkan institusi diraja negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, dakwaan yang tular terutama di media sosial itu berpunca daripada salah tafsir terhadap keputusan UMNO negeri menarik sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sejak 27 April lalu.

Beliau menegaskan, pendirian politik parti itu tidak mempunyai kaitan dengan usaha menggugat kedudukan Tuanku Muhriz, sebaliknya bertujuan memperkukuh urus tadbir kerajaan negeri tanpa mencampuri urusan institusi adat dan raja.

“Sejak 27 April lalu apabila kita mengambil keputusan untuk tidak bersama memberikan sokongan kepada Menteri Besar bukan mempunyai matlamat menjatuhkan Tuanku.

“Pendirian parti politik ialah bekerja, untuk memperkukuh urus tadbir kerajaan dan tidak mencampuri sebarang urusan yang berkaitan dengan institusi adat dan raja.

“Pendirian kita ialah mempertahankannya supaya ia tidak diperlekeh oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO, hari ini.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang turut mengesahkan beliau menghadap Tuanku Muhriz bulan lalu, namun menegaskan pertemuan itu tidak wajar dikaitkan dengan spekulasi yang berlegar.

Katanya, sesi menghadap berkenaan berlangsung atas kapasiti beliau sebagai ketua UMNO negeri dan dilakukan atas dasar taat serta patuh kepada titah Tuanku.

“Apabila saya dititah menghadap oleh Tuanku Muhriz, saya akan taat dan akur dan sebagai rakyat, apa lagi sebagai ketua parti, saya akan taat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau yakin kemelut Perlembagaan yang sedang berlaku di Negeri Sembilan mampu diselesaikan sekiranya semua pihak memainkan peranan ke arah kebaikan negeri.

Mengenai perancangan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027, Jalaluddin berkata, perkara itu akan diuruskan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim.

Katanya, Ismail sudah memaklumkan mengenai perancangan itu dan sedang berusaha memastikan persidangan DUN dapat dilaksanakan, memandangkan ia turut melibatkan pembentangan belanjawan negeri.

Jalaluddin turut menegaskan Tuanku Muhriz akan merasmikan persidangan berkenaan, sekali gus menolak sebarang persoalan mengenai kemungkinan pihak lain mengambil alih peranan tersebut.

Mengulas pertemuan beberapa ADUN dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar baru-baru ini, beliau berkata, perkara itu tidak dimaklumkan kepadanya dan setakat pengetahuannya tidak melibatkan wakil rakyat UMNO atau Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak tahu apa perkara yang berlaku (dibincangkan),” katanya.

Selasa lalu, Ismail memaklumkan kerajaan negeri kekal dengan perancangan mengadakan Persidangan DUN pada 26 November ini, sebelum pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 pada 27 November.

BBerkaitan

Latest articles