Muhyiddin Gesa Anwar Pecat Menteri Tak Sehaluan, Dakwa Sabotaj Dasar Kerajaan

PENGKALAN BATU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran merombak Kabinet dan memecat menteri yang tidak sehaluan dengan pentadbirannya bagi mengelakkan dasar kerajaan digagalkan dari dalam.

Cadangan itu dikemukakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa tindakan segelintir pemimpin Barisan Nasional (BN) mengkritik kerajaan secara terbuka berpotensi menjejaskan kestabilan serta kelancaran pentadbiran.

“Kalau saya jadi perdana menteri, saya dah pecat mereka. Saya rombak Kabinet dan tentukan supaya mereka yang tidak sehaluan dengan saya ini tidak boleh duduk di situ, malah tidak boleh bersama dalam kerajaan.

“Sebab mereka akan menggagalkan segala dasar kerajaan. Mungkin tujuan itulah yang mereka lakukan supaya kerajaan yang dipimpin Anwar akan tumbang,” katanya ketika membantu kempen calon Bersatu di Pengkalan Batu.

Bekas perdana menteri itu berkata, pendirian BN yang terus mengkritik kerajaan perpaduan meskipun masih mempunyai wakil dalam Kabinet menimbulkan persoalan mengenai komitmen parti berkenaan terhadap pentadbiran sedia ada.

Katanya, BN masih mempunyai kedudukan dalam kerajaan termasuk menerusi jawatan timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri.

Menurut Muhyiddin, sebarang ketidakpuasan hati terhadap dasar atau keputusan kerajaan seharusnya dibincangkan secara dalaman di peringkat parti atau Kabinet, bukannya dijadikan kritikan terbuka.

“Prinsipnya, kalau kita menjadi anggota dalam sebuah kerajaan, kita tidak mengecam kerajaan sendiri atau parti yang ada dalam kerajaan. Itu prinsip biasa.

“Apa-apa isu yang tidak dipersetujui, bawa berbincang di peringkat parti atau Kabinet, bukan diluahkan di luar sehingga menunjukkan bukan sahaja berlaku keretakan, malah seolah-olah kerajaan perpaduan sudah mahu pecah,” katanya.

Pada 5 November lalu, Anwar mencabar menteri Kabinet yang mengkritik kerajaan perpaduan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka supaya mengemukakan rungutan mereka dalam mesyuarat Kabinet.

Anwar sebelum ini turut membidas pemegang jawatan persekutuan yang menggunakan kedudukan mereka untuk mengkritik rakan kongsi kerajaan perpaduan ketika kempen PRN Negeri Sembilan pada Ogos lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN, bagaimanapun memberi respons bahawa Anwar boleh memecat menteri daripada BN sekiranya tidak berpuas hati dengan mereka.

Pada PRN Melaka kali ini, Pakatan Harapan (PH) dan BN tidak bekerjasama meskipun kedua-duanya merupakan rakan dalam kerajaan persekutuan.

Sebaliknya, BN membentuk pakatan pilihan raya bersama Perikatan Nasional (PN), sekali gus memperlihatkan percanggahan kerjasama politik di peringkat negeri dan persekutuan.

BBerkaitan

Latest articles