Peguam Najib Desak Pihak Berkuasa Segera Pindahkan Najib Ke Tahanan Rumah

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa didesak tidak berlengah lagi dan segera memindahkan Datuk Seri Najib Razak dari Penjara Kajang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta bagi menjalani tahanan rumah, susulan penjelasan Istana Negara berhubung perintah pengampunan terhadap bekas perdana menteri itu.

Peguam yang mewakili Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee menegaskan, tiada lagi alasan untuk mengekalkan anak guamnya di penjara selepas Istana Negara menjelaskan perintah berkenaan adalah jelas, tanpa sebarang kekaburan dan semua syarat ditetapkan telah dipenuhi.

Beliau berkata, pihaknya menjunjung kasih atas penjelasan yang dibuat Istana Negara, sambil menegaskan perintah pengampunan itu merupakan titah Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Perintah pengampunan ialah titah Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Seri Paduka Baginda kini telah menjelaskan melalui Istana Negara bahawa perintah itu jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, tidak terkait dengan mana-mana kes lain, dan semua syaratnya telah dipenuhi.

“Oleh itu, tiada sebarang asas bagi pihak berkuasa berkenaan untuk terus menahan Dato’ Sri Najib di Kajang walau sesaat.

“Pihak berkuasa mesti memindahkan beliau dengan segera ke kediamannya di Jalan Langgak Duta untuk menjalani tahanan di rumah, sebagaimana yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda. Daulat Tuanku,” katanya dalam kenyataan ringkas.

BBerkaitan

Latest articles