KUALA LUMPUR: Ketiadaan Menteri Kesihatan dan timbalannya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis disifatkan sebagai satu penghinaan kepada Parlimen.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kegagalan kedua-dua pemimpin kementerian itu hadir sehingga menyebabkan soalan lisan nombor tiga tidak dapat dijawab adalah sesuatu yang memalukan kerajaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, soalan berkenaan dikemukakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir Ts Zahir Hassan berkaitan isu kesihatan dan keperluan meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan di kawasan itu.
“Ini adalah satu penghinaan kepada Dewan, sesuatu yang memalukan kerajaan. Jadi, pihak pembangkang menuntut kerajaan supaya memberikan penjelasan.
“Kenapa soalan nombor tiga tadi, menteri tidak datang dan timbalan menteri pun tidak datang?” katanya pada sidang media di Parlimen, pada Khamis.
Menurutnya, situasi itu turut menimbulkan persoalan mengenai tahap komitmen anggota pentadbiran kerajaan dalam menjalankan tanggungjawab mereka terhadap Parlimen.
Takiyuddin berkata, keadaan hampir sama berlaku ketika soalan nombor empat yang dikemukakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Katanya, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin hampir tidak sempat menjawab soalan berkenaan kerana lewat memasuki dewan.
“Ini satu kegagalan dan kita tidak tahu ke mana arah tuju kerajaan pada hari ini.
“Bukan sahaja Perdana Menteri, tetapi menteri-menteri pun nampaknya macam sudah haru-biru. Kita gelombang biru, dia haru-biru. Biru juga,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan sebab ketidakhadiran Menteri Kesihatan dan timbalannya ketika soalan berkenaan dijadualkan untuk dijawab.










