Saravanan Persoal Pengurangan Waktu Bahasa Tamil Di SJKT

KUALA LUMPUR: Cadangan mengurangkan waktu pengajaran bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) daripada 12 kepada 10 waktu seminggu menerusi penyusunan semula kurikulum persekolahan 2027 dibantah keras Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, cadangan itu menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat India yang melihatnya sebagai ancaman terhadap masa depan pendidikan bahasa ibunda.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tapah berkenaan berkata, beliau sudah mengemukakan surat bantahan kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, pada 4 November lalu, dengan salinan turut dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, SJKT mempunyai peranan penting dalam memelihara warisan, jati diri budaya serta kelangsungan bahasa Tamil di Malaysia.

“Bahasa ibunda Tamil bukan sekadar alat komunikasi harian, sebaliknya menjadi asas penting dalam pembentukan intelek, perkembangan emosi, nilai murni dan identiti budaya murid pada peringkat awal persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Saravanan menegaskan, waktu pengajaran bahasa ibunda yang sedia ada tidak seharusnya dikorbankan semata-mata bagi memberi ruang kepada pengenalan mata pelajaran atau modul baharu.

Bagaimanapun, beliau menyatakan sokongan terhadap usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan modul pembentukan karakter bagi membina sahsiah murid.

Sebagai alternatif, beliau mencadangkan supaya kandungan modul berkenaan diserapkan ke dalam waktu pengajaran Pendidikan Moral sedia ada, tanpa menjejaskan masa pembelajaran bahasa Tamil.

“Pendekatan ini dapat mencapai matlamat pembentukan karakter murid tanpa perlu mengurangkan masa pengajaran bahasa Tamil,” katanya.

Beliau berharap KPM dapat mempertimbangkan semula cadangan itu demi memastikan kepentingan pendidikan bahasa ibunda dan pemeliharaan identiti budaya murid SJKT terus terjamin.

BBerkaitan

Latest articles