PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan ketidakhadiran wakil kementerian ketika giliran menjawab soalan ketiga di Dewan Rakyat hari ini berpunca daripada perubahan mendadak aturan urusan mesyuarat susulan kelewatan Ahli Parlimen Kepala Batas mengemukakan soalan kedua.
KKM dalam kenyataan media hari ini berkata, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, sebenarnya sudah hadir di Parlimen dan sedang mengadakan perbincangan akhir bersama pegawai kementerian di ruang luar dewan sebagai persiapan menjawab soalan ketiga.
Bagaimanapun, soalan kedua terpaksa ditangguhkan pada saat akhir berikutan kelewatan Ahli Parlimen Kepala Batas yang sepatutnya mengemukakan soalan berkenaan.
Menurut KKM, keadaan itu menyebabkan giliran Aturan Urusan Mesyuarat melangkau terus kepada soalan ketiga secara mendadak.
“Perubahan aliran yang mendadak tanpa sebarang pemakluman awal daripada Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) ini menjadi punca utama YB Timbalan Menteri tidak sempat memasuki dewan tepat pada waktunya,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, KKM memaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, juga tidak dapat berada di Dewan Rakyat kerana mempunyai tugasan rasmi di luar kawasan.
Beliau pada hari ini menyaksikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka yang disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
KKM turut memohon maaf atas kesulitan teknikal yang berlaku selain menegaskan komitmen kementerian untuk menghormati institusi Parlimen serta hak Ahli Parlimen.
“KKM ingin memohon maaf atas kesulitan teknikal ini dan memberi jaminan bahawa jawapan terperinci berhubung persoalan yang dibangkitkan oleh Ir Ts Zahir Hassan akan diserahkan secara bertulis dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu.










