Aliff Daniel, Ibu Dan Adik Lafaz Taubat Terbuka Selepas Kontroversi Ritual Agama Lain

SHAH ALAM: Selepas mencetuskan kontroversi susulan tindakan melakukan ritual agama lain, Aliff Daniel Adli, 21, hari ini mengisytiharkan taubat (Istitabah) secara terbuka bersama ibu dan adiknya.

Turut melafazkan taubat ialah ibunya, Rohizayanti Ramli, 52, serta adiknya, Nur Ranea Ezreen Adli, 19, yang diminta berbuat demikian kerana gagal menasihati Aliff Daniel.

Majlis yang dikendalikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, dengan disaksikan barisan pemimpin institusi agama negeri.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, Istitabah bukan sekadar lafaz taubat di hadapan khalayak, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk memperbetulkan pegangan dan memperkukuh kefahaman agama.

Beliau menegaskan, taubat perlu disertai penyesalan, meninggalkan kesalahan serta tekad untuk tidak mengulanginya.

“Nilai perubahan bukan sekadar pada apa yang dilafazkan, tetapi pada kesungguhan meneruskan kehidupan berlandaskan akidah yang benar,” katanya.

Menurutnya, proses pemulihan akidah turut menekankan pendidikan, bimbingan dan nasihat bagi memberi ruang kepada individu yang insaf kembali menghayati ajaran Islam.

Semalam, Aliff Daniel diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Ulu Yam, bermula hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah.

Dia didakwa melakukan ritual mencucuk anggota badan, menjunjung alat keagamaan lain serta berlutut di hadapan patung di sebuah kuil di Batu Caves pada 24 Januari 2024.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

BBerkaitan

Latest articles