AYER KEROH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana didakwa sewenang-wenangnya menggunakan istilah agama untuk menghukum pendirian atau kumpulan tertentu, termasuk mengaitkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pendekatan ‘Dajjal’.
Anwar berkata, Abdul Hadi yang juga tokoh agama sepatutnya lebih berhati-hati dan mengawal kenyataannya, bukannya menggunakan istilah sedemikian sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Tan Sri Hadi itu orang alim. Sepatutnya kenyataan dia itu lebih terkawal. Ya, mereka cuba jawab, dia bukan tuju kepada saya. Tidak apa, tetapi untuk hukum orang atau kumpulan atau pendirian Dajjal, tak kena.
“Saya tidak fikir agama boleh dipermainkan seperti itu,” katanya yang ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mempersoalkan tindakan PAS mempertikaikan CSA sedangkan cadangan memorandum persefahaman (MoU) berkenaan pada asalnya dikemukakan Perikatan Nasional (PN), yang turut dianggotai PAS dan BERSATU ketika itu.
Katanya, cadangan berkenaan turut membabitkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta beberapa pemimpin lain ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, sebelum dimeterai bersama Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.
“Jadi macam mana sekarang bila dia buat, tak Dajjal. Bila orang buat, jadi Dajjal. Ini masalah dia,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan menyifatkan pemeteraian CSA sebagai pendekatan ‘Dajjal’ kerana didakwa mengkhianati amanah.
Dalam perkembangan sama, Anwar tidak mempunyai halangan untuk mendedahkan kandungan CSA kepada umum susulan desakan Takiyuddin yang mahu kerajaan menjelaskan butiran perjanjian itu, termasuk jumlah peruntukan, kaedah penyaluran dan pelaksanaannya.
Beliau berkata, prinsip CSA berkenaan sama seperti MoU yang pernah dimeterai sebelum ini dan perkara itu akan disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk tindakan lanjut.
“Tiada rahsia. Prinsip ini sama seperti yang dulu. Saya tak ada masalah,” katanya.
Minggu lalu, kerajaan MADANI memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen, termasuk enam wakil BERSATU yang dipecat parti itu pada 2024 serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menerusi perjanjian itu, mereka bersetuju menyokong pentadbiran kerajaan MADANI sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk dalam undian penting berkaitan Belanjawan 2027.
Semalam, Takiyuddin mendesak kerajaan mendedahkan kandungan khusus CSA bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban, terutama apabila 62 Ahli Parlimen pembangkang lain tidak menerima tawaran perjanjian berkenaan.










