KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, diarahkan memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai projek pembangunan luar bandar, yang berpotensi mengelirukan Parlimen.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menetapkan Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengemukakan penjelasan berserta bukti atau dokumen sokongan selewat-lewatnya Khamis depan, 12 November.
Arahan itu terkandung dalam surat bertarikh 4 November yang dikeluarkan Johari, susulan usul Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, untuk merujuk Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12).
Usul berkenaan dikemukakan selepas Zahid didakwa memberikan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat berhubung penggunaan notis perubahan (NOC) dalam pembiayaan projek pembangunan luar bandar.
“Sehubungan itu, dipohon Yang Amat Berhormat dapat memberikan penjelasan terhadap perkara ini dan mengemukakan bukti atau dokumen yang menyokong penjelasan itu, selewat-lewatnya pada Khamis, 12 Nov 2026,” menurut surat yang ditandatangani Johari itu.
Surat berkenaan ditunjukkan Chong kepada media pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Chong berharap Zahid tampil memberikan penjelasan serta menarik balik kenyataan yang didakwa bercanggah itu bagi menjernihkan persoalan yang timbul.
Beliau berkata, isu berkenaan dibangkitkan pada Isnin lalu, namun Zahid tidak hadir, menyebabkan Speaker meminta beliau mengemukakan usul secara bertulis.
“Saya bangkitkan isu ini pada Isnin tapi menteri tidak ada, jadi speaker minta saya beri usul bertulis. Jadi saya masukkan usul atas arahan speaker.
“Kes ini sudah mengambil banyak hari dan saya rasa, kita sudah semakin jelas mengenai apa yang berlaku,” katanya.
Kontroversi itu tercetus ketika Chong membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
Beliau mendakwa terdapat percanggahan antara kenyataan Zahid dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengenai projek pembangunan luar bandar yang dikatakan terpaksa dikorbankan bagi membiayai projek lain.
Menurut Chong, ketika sesi penggulungan KKDW pada 26 Oktober lalu, beliau meminta Zahid menjelaskan projek yang dikorbankan sekiranya NOC digunakan untuk mendapatkan dana tambahan.
Bagaimanapun, Zahid ketika itu didakwa menjawab bahawa tiada sebarang projek dikorbankan.
Dakwaan itu kemudiannya dipersoalkan selepas Amir Hamzah, ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan pada Khamis lalu, menjelaskan bahawa tatacara pengurusan kewangan membolehkan pengagihan semula peruntukan dilakukan melalui NOC bagi memenuhi keperluan projek.
Namun, Amir Hamzah turut menjelaskan bahawa peningkatan peruntukan bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) menyebabkan pengurangan peruntukan kepada program lain.










