KUALA LUMPUR: Bekas isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, 65, meninggal dunia petang ini.
Berita sedih itu dikongsikan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib menerusi hantaran di Facebook yang turut merakamkan penghargaan atas segala kasih sayang, pengorbanan dan doa Allahyarham sepanjang hayatnya.
Nizar turut mendoakan agar roh ibunya dicucuri rahmat, segala dosa diampunkan dan ditempatkan dalam kalangan penghuni syurga Firdaus.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook Najib Razak, Allahyarham disifatkan sebagai individu penting dalam perjalanan hidup bekas Perdana Menteri itu serta ibu kepada anak-anak mereka.
Menurut hantaran itu, Najib yang kini tidak berpeluang bersama keluarga ketika saat dukacita berkenaan tetap mengiringi anak-anak dan seluruh ahli keluarga Allahyarham dengan ingatan serta doa.
Terdahulu, media melaporkan Tengku Puteri Zainah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Gleneagles, Ampang.










