KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan melahirkan rasa hairan dan mempertikaikan tindakan Pejabat Peguam Negara (AGC) yang didakwa gagal mengambil kira pandangan ahli Jawatankuasa Pilihan Khas serta pemegang taruh dalam draf Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026.
Beliau yang hadir pada Sesi Pendengaran Awam Mengenai RUU berkenaan di Parlimen menyifatkan sambutan serta kehadiran pihak berkepentingan pada sesi tersebut sebagai amat memberangsangkan, namun meluahkan rasa kesal kerana draf yang dibentangkan masih tidak mencerminkan input penting yang telah disuarakan sebelum ini.
Meskipun memuji kesungguhan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas yang berusaha menterjemahkan pandangan pelbagai pihak ke dalam draf tersebut, Wan Saiful menegaskan bahawa wujud kepincangan ketara yang perlu disemak semula, khususnya berkaitan Fasal 22.
Menurut beliau, isu Fasal 22 telah dibangkitkan oleh beberapa peserta kerana ia dilihat seolah-olah menafikan hak mendapatkan maklumat yang sepatutnya diiktiraf sebagai salah satu hak asasi manusia.
“Meneliti kembali perjalanan Jawatankuasa Pilihan Khas ini, saya hairan juga kenapa draf yang dibentangkan dalam sesi pagi tadi masih tidak mengambil kira pandangan ahli-ahli jawatankuasa dan pemegang taruh yang memberi pandangan sebelum ini.
“Adakah Pejabat Peguam Negara yang menyediakan draf ini benar-benar mengambil kira semua pandangan yang diberikan, atau adakah pandangan-pandangan itu dibakulsampahkan oleh mereka?” soalnya.
Mengulas lanjut, Wan Saiful meletakkan harapan tinggi agar Jawatankuasa Pilihan Khas mampu menghasilkan satu draf yang lebih baik daripada versi semasa, memandangkan segala kelemahan telah dikenal pasti dan cadangan penyelesaian konkrit telah pun diberikan oleh pelbagai pihak.
Beliau menegaskan bahawa isu utama kini bukan lagi soal kekurangan cadangan, sebaliknya berpulang kepada kesediaan AGC untuk mendengar kehendak rakyat yang dizahirkan menerusi platform Parlimen.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa kerajaan komited memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI) digubal secara komprehensif agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya bertukar menjadi undang-undang yang mengawal maklumat.
Beliau berkata, penggubalan undang-undang berkenaan memerlukan keseimbangan antara hak rakyat untuk mengakses maklumat dan kepentingan keselamatan negara, di samping menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat menghasilkan RUU FOI sekadar mencukupi syarat.
“Kita mahu ada RUU Kebebasan Maklumat pada tahun ini seperti yang dijanjikan, tetapi persoalannya ialah apakah bentuk rang undang-undang yang mahu kita hasilkan.
“Tiada gunanya kita mewujudkan RUU Kebebasan Maklumat jika akhirnya ia menjadi rang undang-undang kawalan maklumat. Lebih baik tidak ada terus jika begitu,” ujarnya.
Beliau turut memperincikan pelbagai fokus perbincangan merangkumi skop akses maklumat, ketelusan entiti awam dan swasta, serta keperluan badan pengawal selia seperti ombudsman.










