KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Puan Marhamah Rosli menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak terlibat dengan sebarang unsur Gerakan New Age (New Age Movement atau NAM) serta kekal berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mengambil perhatian serius terhadap persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh masyarakat, beliau berkata pihaknya menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bercanggah dengan syarak dan prinsip akidah Islam.
“Saya berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak pernah meninggalkan pegangan tersebut.
“Saya juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya menganut, mengamalkan atau menyebarkan NAM atau mana-mana ajaran yang bercanggah dengan akidah dan Syariat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Susulan isu yang dibangkitkan, beliau memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bagi memberi penjelasan serta mendapatkan pandangan.
Menurut beliau, berdasarkan pertemuan dan penjelasan yang diberikan, tiada pertikaian berhubung akidah beliau dan tiada keterlibatan sama sekali dengan NAM.
“Nasihat yang diterima adalah berkaitan beberapa hantaran lama yang memerlukan penjelasan, khususnya berkenaan perkongsian kandungan, penglibatan dengan individu tertentu serta penggunaan beberapa istilah yang kemudiannya dikaitkan dengan NAM,” jelasnya.
Menjawab dakwaan mengenai beberapa individu yang turut dikaitkan dengannya, Marhamah menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang hubungan peribadi, hubungan perguruan atau kerjasama dengan Umar Paranorms berkaitan apa-apa ajaran atau fahaman.
“Pada tahun 2019, saya pernah berkongsi satu hantaran beliau dalam konteks pembangunan diri. Pada ketika itu, saya tidak mengetahui bahawa kandungan atau istilah tertentu yang digunakan kemudiannya dikaitkan dengan unsur NAM.
“Saya berlepas diri dan menolak sebarang amalan, ajaran atau fahaman yang bercanggah dengan akidah dan Syariat Islam yang dikaitkan dengan beliau,” jelasnya sambil memandang serius tindakan pihak yang menggabungkan potongan hantaran lamanya bersama video lain yang boleh memberikan gambaran mengelirukan.
Berhubung kaitannya dengan Afnan Rosli pula, beliau menyatakan bahawa beliau pernah menghadiri sebuah program terbuka individu berkenaan sebagai peserta bagi tujuan mendapatkan ilmu berkaitan pembangunan diri, di mana hubungan tersebut terhad setakat itu sahaja tanpa mengetahui isu-isu yang dikaitkan dengan NAM.
Beliau turut menolak sebarang amalan atau fahaman bercanggah yang dikaitkan dengan beliau.
Bagi pertemuan dengan Ustaz Nasrullah, beliau menegaskan bahawa ia adalah semata-mata berkaitan urusan promosi sebuah filem dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan NAM, di samping turut berlepas diri daripada sebarang amalan atau fahaman yang bercanggah.
Beliau menegaskan bahawa sekiranya terdapat mana-mana individu lain yang pernah mempunyai urusan atau interaksi dengannya dan kemudiannya dikaitkan dengan NAM, perkara tersebut tidak dengan sendirinya mencerminkan pegangan atau penglibatannya.
“Saya mengakui bahawa terdapat beberapa istilah yang pernah saya gunakan pada masa lalu dalam konteks pembangunan diri tanpa mengetahui bahawa istilah tersebut kemudiannya akan dikaitkan dengan NAM. Istilah-istilah berkenaan tidak lagi saya gunakan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan penerimaan terbuka terhadap setiap teguran dan nasihat yang diberikan.
“Sebagai Timbalan Menteri yang diamanahkan dengan portfolio Hal Ehwal Agama, saya komited dan akan terus memastikan setiap penyampaian serta pendekatan sentiasa berpandukan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta merujuk pihak berautoriti dalam hal-hal berkaitan agama.
“Akhir sekali, saya memohon maaf atas sebarang kekeliruan dan kegusaran yang timbul daripada hantaran atau penggunaan istilah saya pada masa lalu.
“Pada masa yang sama, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa saya tidak terlibat dengan New Age Movement dan kekal berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” tambahnya.










