egasi Siti Hasmah Terus Dikenang, Tokoh Korporat dan Institusi Negara Rakam Penghormatan
KUALA LUMPUR: Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada usia 100 tahun meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan masyarakat termasuk tokoh korporat dan institusi negara yang mengenang beliau sebagai figura penuh kelembutan, ketabahan serta dedikasi terhadap khidmat awam.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan YTL Corp, Tan Sri Francis Yeoh berkata, Dr Siti Hasmah akan sentiasa dikenang kerana sifatnya yang lemah lembut, penyayang dan sentiasa mengambil berat terhadap orang lain.
Beliau berkata, keluarganya amat berdukacita dengan pemergian isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dan percaya kehilangan berkenaan turut dirasai ramai rakyat Malaysia.
Yeoh turut berkongsi kenangan peribadi mengenai hubungan rapat keluarganya dengan Dr Siti Hasmah yang menurutnya sering bertanyakan khabar mengenai ibunya.
Katanya, keikhlasan Dr Siti Hasmah dalam mengambil berat terhadap keluarganya menjadi antara kenangan yang tidak akan dilupakan.
Selain dikenali sebagai seorang doktor dan tokoh masyarakat, Yeoh turut mengenang Dr Siti Hasmah sebagai seorang pemuzik berbakat yang begitu mencintai muzik.
“Kami menghargai malam-malam apabila beliau menjemput kami makan malam di rumahnya, sebelum kami menyanyi bersama-sama,” katanya.
Antara kenangan paling dekat di hatinya ialah ketika berpeluang menyanyikan lagu It’s a Sin to Tell a Lie bersama Dr Siti Hasmah dan Dr Mahathir, yang menurutnya merupakan antara lagu kegemaran bekas Perdana Menteri itu.
Yeoh berkata, kekuatan yang ditampilkan secara sederhana serta keperibadian penuh santun Dr Siti Hasmah akan terus kekal dalam ingatan mereka yang pernah mengenalinya.
“Kami akan amat merinduinya. Semoga Tuhan memberikan kekuatan kepada Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga dalam menghadapi saat penuh kesedihan ini,” katanya.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi pada usia 100 tahun.
Beliau meninggalkan suaminya, Dr Mahathir, 101, yang dikahwininya pada 5 Ogos 1956, serta tujuh orang anak.










