​IPOH: Keberanian mengubah gaya hidup dan disiplin tinggi membuahkan hasil apabila bekas pemimpin politik, Dr Mahathir Mohd Rais, merangkul tempat ketiga dalam kategori Body Transformation pada kejohanan kecergasan dan bina badan FIF Mr Perak 2026 di Sentrac Banquet Hall, pada Ahad.
​Penyertaan beliau bukan sahaja mencuri tumpuan ramai sebagai kelainan dalam gelanggang sukan kecergasan, malah turut melakar pencapaian peribadi membanggakan apabila berada dalam kelompok Top 5 kategori berkenaan.
​Dr Mahathir, yang juga bekas Setiausaha Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan dan bekas pemimpin Bersatu Wilayah yang kini bersama PKR, menyifatkan kejayaan itu bukan semata-mata mengenai kedudukan di atas pentas, tetapi sebahagian daripada perjalanan membina disiplin diri.
​”Setiap orang bermula dari titik yang berbeza. Ada yang mahu menurunkan berat badan, ada yang mahu menjadi lebih sihat dan ada yang mahu mendapatkan semula keyakinan diri.
“Yang penting ialah keberanian untuk bermula dan disiplin untuk teruskan walaupun prosesnya tidak mudah,” katanya.
​Menurut beliau, platform seperti kejohanan anjuran Fitness International Federation (FIF) Perak itu penting terutama kepada golongan muda kerana kecergasan bukan sekadar fizikal, tetapi turut membentuk mental dan cara seseorang mengurus kehidupan.
​”Apabila kita belajar menjaga rutin, pemakanan, latihan dan komitmen terhadap diri sendiri, nilai yang sama sebenarnya boleh dibawa ke dalam pekerjaan, keluarga dan kehidupan seharian.
“Bagi saya, perubahan fizikal hanyalah sebahagian daripada proses. Yang lebih penting ialah bagaimana kita membina tabiat dan disiplin yang boleh bertahan dalam jangka panjang,” jelasnya.
​Beliau turut menyifatkan kategori Body Transformation sebagai ruang penting kepada individu yang bukan berlatarbelakangkan atlet bina badan, tetapi mahu membuktikan hasil usaha menerusi gaya hidup sihat.
​”Bagi saya, kemenangan bukan semata-mata berdiri di tempat pertama. Kalau seseorang yang sebelum ini tidak aktif berjaya mengubah pemakanan, mula bersenam dan menjadi lebih sihat, itu sendiri satu pencapaian,” ujarnya.
​Mengulas lanjut, Dr Mahathir merakamkan penghargaan kepada jurulatih peribadinya, Coach Yuwa dari YK Fitness, yang banyak membantunya menyediakan pelan pemakanan serta latihan yang tepat.
​”Saya sangat berterima kasih kepada Coach Yuwa kerana banyak membantu dari segi pelan pemakanan, nutrisi dan latihan.
“Pengalaman beliau sendiri dalam pertandingan serta perjalanan kembali pulih selepas strok banyak memberi inspirasi kepada saya untuk kekal berdisiplin sepanjang proses transformasi ini,” katanya.
​Beliau berharap pengalamannya dapat memberi motivasi kepada masyarakat untuk mula melangkah ke arah gaya hidup yang lebih sihat tanpa perlu menunggu kesempurnaan.
​”Tidak perlu tunggu sehingga semuanya sempurna dan tidak perlu tunggu masa yang kononnya paling sesuai. Mulakan dengan apa yang ada, buat sedikit demi sedikit dan teruskan. Kalau kita konsisten, perubahan itu akan datang,” pesannya.
​Sementara itu, Pengarah FIF Perak, Kaliyapan Raguraman, berkata penganjuran edisi sulung itu bertujuan menyediakan platform kepada atlet dan masyarakat umum untuk mempamerkan bakat serta membina keyakinan diri melalui pendekatan yang inklusif, termasuk menyediakan ruang untuk peserta OKU dan kategori transformasi.
​Majlis perasmian kejohanan disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Datuk Mohd Tarmizi Idris, manakala majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Arvend Applasamy.










