Kerajaan Nafi ‘Double Standard’ Isu Ajaran Bercanggah Akidah

IPOH: Kerajaan menegaskan tiada layanan berbeza dalam menangani dakwaan membabitkan ajaran atau fahaman yang disyaki bercanggah dengan akidah Islam, sebaliknya setiap kes akan melalui proses siasatan sebelum sebarang tindakan diambil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata kerajaan kekal tegas mempertahankan kesucian akidah umat Islam tanpa mengira pihak yang dikaitkan dengan sesuatu fahaman.

“Tak ada (layanan berbeza). Kita memang mempertahankan kesucian akidah umat Islam. Insya-Allah kita akan teruskan dengan melakukan segalanya untuk memastikan kesucian dan kemuliaan akidah umat Islam di Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan Program Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (Digital IPI), termasuk pemanfaatan kemudahan Digital Maker Hub (DMH) di Pondok Darul Furqan, Tambun, hari ini.

Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakan kerajaan terhadap isu New Age Movement (NAM), termasuk membandingkannya dengan tindakan pernah diambil terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB).

Beliau menegaskan, sebarang dakwaan terhadap badan bukan kerajaan (NGO) yang disyaki mengamalkan atau mengikuti fahaman tertentu akan diteliti dan disiasat pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diputuskan.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap tindakan berkaitan isu akidah dibuat berdasarkan penelitian dan proses yang sewajarnya.

Perkembangan itu berlaku ketika isu NAM turut dikaitkan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, yang sebelum ini menafikan dakwaan mengaitkannya dengan amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran berkenaan.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan pertemuan dan sesi tabayyun bersama Marhamah bagi mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung perkara itu.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata sesi berkenaan turut membabitkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) Jakim serta pihak berkaitan bagi meneliti isu tersebut dari sudut disiplin akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM.

Hasil pertemuan itu, beberapa teguran, nasihat dan panduan diberikan, termasuk berkaitan kandungan serta pengisian program yang dilaksanakan dan pendekatan yang mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah.

Jakim turut menegaskan sebarang kandungan atau pendekatan yang berpotensi menimbulkan kekeliruan terhadap akidah perlu diperbetulkan dan dimurnikan, manakala pengisian agama hendaklah berasaskan disiplin ilmu Islam serta pandangan pihak berautoriti.

Dalam masa sama, Jakim mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan bahan yang tersebar tanpa pengesahan atau kandungan yang diambil di luar konteks.

BBerkaitan

Latest articles