MELAKA: Kehadiran pemimpin kanan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) dalam satu pertemuan tertutup di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini malam ini mencetuskan spekulasi baharu mengenai rundingan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Antara yang hadir ialah Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Pengarah Pilihan Raya Melaka Bersatu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Datuk Sri R Sanjeevan serta Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim.
Turut hadir Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali, manakala PH diwakili Pengerusi Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari; Pemangku Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim dan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong turut dijangka menghadiri pertemuan berkenaan.
Pertemuan yang berlangsung secara tertutup itu dijadualkan diteruskan dengan ucapan Mohamad Ali dan Adly sebelum sesi suai kenal.
Perkembangan itu hadir ketika PH Melaka masih memuktamadkan rundingan dengan Bersatu bagi membentuk kerjasama PH Plus untuk menghadapi PRN.
Adly sebelum ini mengesahkan rundingan berkenaan sedang berlangsung, namun sebarang kerjasama hanya akan diumumkan selepas proses itu selesai.
Dalam rundingan pembahagian kerusi, Amanah diperuntukkan lapan kerusi, dengan Bukit Katil, Durian Tunggal, Telok Mas dan Merlimau sudah dikenal pasti untuk ditandingi parti itu.
Empat lagi kerusi iaitu Pantai Kundor, Kuala Linggi, Sungai Rambai dan Taboh Naning masih tertakluk kepada rundingan.










