KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan bahawa pelantikan pelawak dan penggiat seni, Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro, sebagai pengajar di universiti itu dibuat atas dasar pengalaman industri seni, bukan seperti yang ditohmahkan segelintir pihak.
Penjelasan itu dikeluarkan susulan hantaran kontroversi di media sosial oleh pemimpin politik PKR, Fahmi Zainol, yang mempertikai pelantikan tersebut dengan mendakwa ia kononnya meminggirkan individu kelayakan akademik tinggi serta mencemarkan institusi pengajian tinggi.
Melalui surat pelantikan bertarikh 10 September 2026 yang ditandatangani Dekan Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC), Prof. Dr. Shariza Ezat Wan Puteh, Shahrol Shiro dilantik sebagai tenaga pengajar bagi kursus LMCZ1512 Seni Lakon I di bawah Citra Universiti untuk Semester I Sesi 2026/2027.
Bagaimanapun, Pusat Komunikasi Korporat UKM menerusi kenyataan rasminya menjelaskan bahawa pelantikan Shahrol Shiro di FPSC adalah terhad sebagai pengajar sambilan bagi kelas seni lakon yang khusus mengkhususkan kepada bidang stand-up comedy (komedi berdiri).
“Melalui lantikan ini, beliau hanya memberi latihan amali dan praktikal sahaja tanpa melibatkan pengajaran di dalam kuliah,” jelas kenyataan itu.
UKM turut menambah bahawa pemilihan tersebut berasaskan ketrampilan dan pengalaman luas beliau sebagai pengamal industri seni yang aktif dalam bidang lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan serta produksi.
“Kursus Citra UKM (Seni Lakon) merupakan kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada pelajar UKM bagi memberikan pendedahan dan pengalaman dalam bidang seni persembahan, khususnya aspek asas lakonan dan persembahan.
“Sementara itu, FPSC adalah fakulti yang mengkhususkan kepada pengajian transdisiplin, meliputi pengajian umum termasuk kursus kebudayaan, sukan dan badan beruniform,” tambahnya.
Terdahulunya, Fahmi Zainol menerusi hantaran di laman Facebook rasminya menyelar pelantikan berkenaan dengan menggunakan bahasa kesat dan mendakwa ia sebagai satu bentuk penempatan “kaki ampu orang politik” serta mengabaikan graduan pemegang Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).










