Remaja Bunuh Rakan Anggap Mangsa ‘NPC’, Alami Skizofrenia

KUALA LUMPUR: Remaja berusia 15 tahun yang membunuh rakannya di sebuah sekolah di Bandar Utama tahun lalu menganggap rakan sekelasnya sebagai ‘NPC’ atau watak permainan video yang tidak bernilai ketika mengalami episod skizofrenia.

Perunding Kanan Psikiatri Forensik, Dr Ian Lloyd Anthony, berkata remaja dikenali sebagai ‘L’ itu turut percaya rakan sekolahnya berkonspirasi terhadapnya dan patut dibunuh, selain mempunyai keinginan menyebabkan kematian beramai-ramai.

Dapatan itu terkandung dalam laporan psikiatri yang dirujuk Mahkamah Tinggi ketika memutuskan remaja berkenaan tidak bertanggungjawab atas pertuduhan membunuh atas alasan tidak sempurna akal.

Menurut Anthony, remaja itu didiagnosis menghidap skizofrenia dengan ciri psikopati dan sadisme, selain mempunyai kecenderungan genetik yang kuat terhadap penyakit mental.

Keadaannya dipercayai semakin merosot selepas terdedah kepada internet, permainan video ganas dan kandungan anime.

Ketika tempoh PKP, keluarga dan guru menyedari perubahan tingkah lakunya apabila dia semakin pendiam, mengasingkan diri serta mengalami delusi paranoid.

Remaja itu kemudian mula berminat terhadap kes tembakan di sekolah luar negara dan pembunuh bersiri, sebelum menganggap dirinya mempunyai persamaan dengan pelaku terbabit.

Anthony berkata keadaan menjadi lebih serius apabila remaja itu mula obses terhadap seorang rakan perempuan, termasuk memerhatikan dan mengekori mangsa serta mengikutinya menerusi media sosial.

Pada awalnya, dia percaya gadis itu turut mempunyai perasaan terhadapnya, namun perasaan tersebut berubah menjadi iri hati, kemarahan dan kebencian selepas terpengaruh dengan kandungan mengenai pembunuhan.

Lebih membimbangkan, remaja itu turut mengalami halusinasi auditori apabila mendakwa mendengar suara watak anime yang menyuruhnya membunuh mangsa.

BBerkaitan

Latest articles