Kemelut Negeri Sembilan: Jangan Campur Tangan Sewenang-wenangnya, Tegas Azalina

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan tidak boleh sewenang-wenangnya mencampuri kemelut pentadbiran dan institusi diraja Negeri Sembilan, sebaliknya bidang kuasa negeri itu perlu dihormati berdasarkan undang-undang serta perlembagaannya sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata sebarang usaha menyelesaikan kemelut berkenaan perlu mengambil kira pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

Beliau menegaskan, Negeri Sembilan mempunyai kerangka perlembagaan dan adat tersendiri menerusi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, justeru pandangan pihak luar perlu dibuat dengan berhati-hati supaya tidak mengelirukan masyarakat.

“Pada pandangan peribadi saya, kita kena menghormati negeri kerana ia mempunyai undang-undang serta Perlembagaan sendiri.

“Kerajaan Persekutuan juga mempunyai Perlembagaan, jadi perkara ini berbeza,” katanya ketika ditemui selepas Program Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) dan Peranan Tribunal Bagi Antibuli (TAB) di Maktab Tentera Diraja (MTD), di sini hari ini.

Azalina turut mengingatkan bahawa keunikan sistem Negeri Sembilan perlu difahami sebelum mana-mana pihak membuat kenyataan mengenai kemelut berkenaan.

Beliau berkata, sebagai anak Johor yang mengamalkan Adat Temenggung, beliau menyedari terdapat perbezaan dengan sistem Adat Perpatih yang menjadi sebahagian daripada identiti Negeri Sembilan.

“Kalau kita terlebih-lebih komen dan saya tidak ada kepakaran, kita tidak boleh mengelirukan orang awam kerana Negeri Sembilan agak unik berbanding negeri lain.

“Kalau kita hendak memberi komen dan bukan berasal dari negeri itu, saya rasa ia agak tidak adil. Biarlah orang Negeri Sembilan sendiri yang mencari penyelesaian untuk Negeri Sembilan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika tekanan terhadap Kerajaan Persekutuan untuk campur tangan semakin meningkat susulan gesaan 10 bekas presiden Majlis Peguam agar Putrajaya mengambil tindakan bagi menyelesaikan kemelut perlembagaan membabitkan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Kumpulan terbabit mendakwa perkembangan berhubung kedudukan Tuanku Muhriz menimbulkan kebimbangan terhadap sistem raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang, selain mempersoalkan proses yang membawa kepada tindakan terhadap kedudukan baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin semalam turut menyatakan bantahan terhadap apa yang mereka dakwa sebagai cubaan mencabar prerogatif serta hak perlembagaan mereka.

Mereka menegaskan kuasa berkaitan pemilihan dan penurunan Yang Dipertuan Besar merupakan sebahagian daripada prerogatif adat yang turut diperuntukkan dalam Perkara 7, 10 dan 11 UUTKNS 1959.

BBerkaitan

Latest articles