PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor gagal mendapatkan penangguhan tanpa syarat terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang mewajibkannya membayar kira-kira RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas dari Lubnan, sementara menunggu rayuannya diputuskan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Firuz Jaffril menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu selepas mendapati tiada alasan mencukupi untuk membenarkan penangguhan tanpa syarat.
Panel yang turut dianggotai Hakim Amarjeet Singh dan Aliza Sulaiman turut mengarahkan Rosmah membayar RM30,000 kos kepada Global Royalty Trading SAL.
Ketika prosiding, Firuz memberitahu peguam syarikat itu, David Gurupatham, bahawa pihaknya boleh mengambil tindakan bagi menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi.
Rayuan utama Rosmah dijadual didengar pada 25 Mac tahun depan.
Sebelum ini, pada 10 Jun, Hakim Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon memerintahkan Rosmah membayar RM67.5 juta dalam tempoh sebulan selepas membenarkan saman Global Royalty terhadapnya.
Tuntutan itu berkaitan 43 barang kemas mewah bernilai AS$14.57 juta (kira-kira RM67.5 juta) yang didakwa dihantar kepada Rosmah pada 2018 secara konsainan untuk tujuan dilihat.
Global Royalty mendakwa kesemua barang kemas berkenaan kekal milik syarikat dan tidak dikembalikan, sekali gus mendorong tuntutan ganti rugi terhadap Rosmah.
Syarikat yang berpangkalan di Lubnan itu turut menamakan Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam saman berkenaan.
Bagaimanapun, pada 12 Ogos, Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani membenarkan penangguhan bersyarat, dengan Rosmah diarahkan memasukkan keseluruhan jumlah penghakiman kira-kira RM67.5 juta ke dalam akaun bersama yang dikendalikan peguam kedua-dua pihak dalam tempoh sebulan.
Pengaturan itu bertujuan melindungi kepentingan Global Royalty sekiranya rayuan Rosmah gagal, selain memastikan wang kekal di Malaysia dan boleh dikembalikan kepadanya jika rayuan berjaya.
Rosmah kemudian membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan penangguhan tanpa syarat.
Peguamnya, Reza Abdul Rahim, berhujah mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan permohonan itu, terutama kerana rayuan dijadual didengar kira-kira enam bulan lagi.
Bagaimanapun, Gurupatham yang dibantu R Venothani membantah permohonan tersebut dan berkata Global Royalty berisiko dinafikan manfaat penghakiman sekiranya pelaksanaan ditangguhkan, khususnya susulan pembekuan aset Rosmah berkaitan saman difailkan 1MDB terhadapnya.
Beliau turut merujuk afidavit Rosmah yang antara lain menyatakan beliau hanya mempunyai RM20 dalam akaun bank yang tidak aktif.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Siti Aishah Ramlan yang mewakili Ketua Polis Negara dan kerajaan memaklumkan pihaknya mendapat arahan untuk tidak membantah permohonan Rosmah.










