KUALA LUMPUR: Polis membuka siasatan terhadap pertubuhan belia Mandiri berhubung dakwaan penerimaan dana yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang sejak 2024 hingga tahun ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail, berkata siasatan itu dimulakan pada 10 September lalu di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) membabitkan Mandiri Development Centre Sdn Bhd.
Beliau berkata siasatan meliputi aspek penyimpanan, pemindahan dan penggunaan dana, termasuk transaksi kemasukan serta pengeluaran wang yang disyaki mempunyai kaitan dengan hasil aktiviti menyalahi undang-undang.
“Polis akan terus menjalankan siasatan menyeluruh terhadap mana-mana pihak yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes ini.
“Orang ramai juga diberi jaminan bahawa siasatan dilaksanakan secara profesional, telus dan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Susulan siasatan itu, Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi, dan Pengarah Kewangannya, Dobby Chew, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada Selasa bagi membantu siasatan.
Penahanan kedua-dua individu itu turut mencetuskan reaksi daripada kumpulan masyarakat sivil dan beberapa pemimpin DAP yang menggesa mereka dibebaskan serta-merta, selain mempersoalkan keperluan penahanan ketika siasatan masih berjalan.
Di bawah Seksyen 4(1) AMLA, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Siasatan itu sebelum ini menyaksikan lebih 20 pegawai polis menyerbu pejabat yang dikongsi Mandiri dan Hayat di Petaling Jaya pada 18 September lalu.
Dalam serbuan itu, pihak terbabit menyerahkan pelbagai bahan kepada polis termasuk rekod kewangan, laporan audit, dokumen cukai, rekod pembayaran gaji, sebuah komputer dan pemacu USB yang mengandungi maklumat kewangan.
Pada masa sama, akaun bank peribadi Amir dan Chew serta akaun organisasi Mandiri dan Hayat turut dibekukan di bawah peruntukan undang-undang antipengubahan wang haram, manakala kedua-dua individu berkenaan dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.










