KUALA LUMPUR: Pertikaian saman fitnah antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, yang berlarutan sejak 2023 akhirnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi hari ini.
Peguam Anwar, Sankara Nair, memaklumkan mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertikaian itu dengan Anwar menarik balik saman berkenaan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula, selain tiada perintah mengenai kos.
Peguam Awang, Yusfarizal Yusoff, turut mengesahkan persetujuan berkenaan sebelum Pesuruhjaya Kehakiman, Roslan Mat Nor, membatalkan saman mengikut terma yang dipersetujui.
Mahkamah juga melapangkan tarikh perbicaraan yang sebelum ini ditetapkan pada bulan depan.
Dalam kenyataan bersama yang dikemukakan kepada mahkamah, kedua-dua pihak berkata keputusan menyelesaikan pertikaian itu dibuat selepas mengambil kira keperluan memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting demi kepentingan rakyat dan negara.
Mereka turut mempertimbangkan implikasi meneruskan prosiding berkenaan, termasuk kos litigasi yang perlu ditanggung oleh kedua-dua pihak.
Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, Awang secara penuh rasa rendah diri dan tanpa bersyarat bersetuju menarik balik semua kenyataan yang dibuat pada atau sekitar 21 Februari 2023, yang menjadi asas kepada saman berkenaan.
Awang juga bersetuju untuk tidak mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan sama, termasuk kenyataan yang membawa maksud sama atau secara substansial serupa, pada masa hadapan.
Kedua-dua pihak berharap penyelesaian itu diterima dan dihormati semua pihak serta tidak lagi dipolitikkan atau dijadikan bahan yang boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan dan kestabilan negara.
Anwar memfailkan saman pada Mac 2023 susulan kenyataan yang didakwa dibuat Awang ketika sidang media di luar Dewan Rakyat pada 21 Februari tahun sama.
Kenyataan berkenaan antara lain menyentuh pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri serta dakwaan berkaitan pendakwaan terpilih.










