KUALA LUMPUR: Polis muncul sebagai kumpulan penjawat awam paling ramai menerima ganjaran kerajaan kerana keberanian melaporkan cubaan pemberian atau penerimaan rasuah sepanjang tempoh 2012 hingga 2025.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan seramai 652 penjawat awam menerima ganjaran berjumlah RM1.18 juta sebagai penghargaan terhadap tindakan mereka membantu membanteras kegiatan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata daripada jumlah itu, seramai 437 penerima terdiri daripada anggota dan pegawai polis, diikuti Jabatan Imigresen Malaysia dengan 64 penerima.
Dua lagi agensi yang merekodkan jumlah penerima tertinggi ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan 33 orang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) seramai 21 orang.
Menurut beliau, antara kes yang mendapat pengiktirafan ialah tindakan seorang pegawai polis di Perlis yang menolak tawaran rasuah RM200,000 berkaitan kes rampasan syabu seberat 1.8 tan.
Turut direkodkan ialah kes penolakan suapan berjumlah RM45,000 di Johor.
Bagi penilaian tahun ini, Abd Halim berkata sekretariat mengemukakan 54 calon penjawat awam daripada empat agensi penguatkuasaan untuk dinilai.
Daripada jumlah itu, 38 calon adalah anggota polis, diikuti 12 daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tiga daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang daripada Jabatan Imigresen.
“Penilaian tahun ini membabitkan 30 kertas siasatan dengan jumlah nilai rasuah yang cuba disogokkan mencecah RM304,621.
“Semua calon yang dinilai melepasi proses tapisan keutuhan SPRM dan semakan rekod jenayah polis bagi memastikan mereka memenuhi kelayakan ditetapkan,” katanya.
Abd Halim berkata, secara keseluruhan, seramai 529 individu diperakukan menerima ganjaran berserta sijil, manakala 123 lagi diperakukan menerima sijil penghargaan.
Katanya, pengiktirafan berkenaan bukan sekadar penghargaan, sebaliknya bertujuan menggalakkan lebih ramai penjawat awam tampil melaporkan cubaan rasuah tanpa gentar.
Beliau berkata, calon yang dicalonkan perlu membuat aduan rasmi berhubung pemberian atau penerimaan rasuah serta memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat SPRM sehingga proses perbicaraan kes di mahkamah selesai.
“Pemberian ganjaran ini diperluaskan bukan saja terhad kepada agensi penguatkuasaan, malah kepada seluruh sektor perkhidmatan awam, khususnya pegawai di bahagian perolehan supaya tampil berani menyalurkan maklumat bagi membendung kegiatan rasuah,” katanya.










