SEREMBAN: Pertemuan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar yang dijadualkan pagi ini dibatalkan pada saat akhir atas faktor keselamatan.
Sumber memaklumkan, keputusan berkenaan dibuat selepas pihak berkuasa memberikan nasihat supaya pertemuan yang dirancang di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar itu tidak diteruskan.
“Pertemuan di sebuah hotel dibatalkan atas faktor keselamatan selepas mendapat nasihat pihak berkuasa,” katanya.
Sebelum ini, sesi berkenaan dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi sebagai pertemuan suai kenal serta usaha mengeratkan hubungan antara Ismail, barisan EXCO dan Tunku Nadzaruddin.
Bagaimanapun, Ismail pagi ini hanya menghadiri sesi sarapan bersama barisan EXCO serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan.
“Setakat ini, Menteri Besar hanya bersarapan bersama EXCO dan beberapa ADUN kerajaan,” kata sumber itu.
Pertemuan tersebut sebelum ini dilaporkan sebagai Majlis Menghadap Sembah Takzim yang turut dijangka disertai Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong.
Pembatalan itu berlaku ketika kemelut perlembagaan Negeri Sembilan semakin tegang susulan keputusan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan kesemua 10 EXCO negeri berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Ismail sebelum ini menegaskan barisan EXCO berkenaan masih sah dan akan meneruskan tugas seperti biasa, sekali gus mewujudkan pertikaian berhubung tafsiran kuasa di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.










