GLASGOW: Penantian 16 tahun Datuk Azizulhasni Awang untuk bergelar juara Sukan Komanwel akhirnya berakhir apabila meraih pingat emas acara keirin di Velodrom Sir Chris Hoy, awal pagi tadi.
Kejayaan itu melengkapkan koleksi pingat jaguh berbasikal trek negara itu selepas pernah memenangi gangsa pada edisi Glasgow 2014, sekali gus menebus episod pahit yang menghantuinya sejak Delhi 2010.
Dalam perlumbaan akhir, Azizulhasni mempamerkan kayuhan bertenaga apabila memecut dari kedudukan keempat sebelum memintas pencabar di selekoh terakhir untuk muncul juara.
Pelumba yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu menewaskan wakil Australia, Leigh Hoffman yang meraih perak, manakala gangsa menjadi milik pelumba England, Harry Ledingham-Horn.
Sebaik menamatkan perlumbaan, Azizulhasni dilihat sebak dan menangis di tepi trek, disambut sorakan ribuan penyokong yang memenuhi velodrom.
Kejayaan itu turut menebus kekecewaan beliau pada Sukan Komanwel Delhi 2010 apabila dilucutkan pingat emas akibat kayuhan berbahaya selepas pada awalnya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam kemenangan 1-2 Malaysia bersama Josiah Ng.
Beliau kemudian meraih gangsa di Glasgow 2014, menduduki tempat keenam di Gold Coast 2018 dan terlepas Birmingham 2022 kerana menjalani pemulihan selepas pembedahan jantung terbuka.
Sementara itu, hasrat Malaysia untuk mempunyai dua wakil di final tidak kesampaian apabila Muhammad Shah Firdaus Sahrom tersingkir di peringkat separuh akhir selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat.










