KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan semua pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah atau housemanship akan terus ditawarkan jawatan tetap bermula 2028, sekali gus menjadi langkah penting bagi menamatkan isu lantikan doktor kontrak yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, berkata sasaran itu sedang dibincangkan bersama kerajaan sebagai dasar baharu bagi memastikan laluan kerjaya doktor muda lebih terjamin, di samping memperkukuhkan kapasiti tenaga kerja kesihatan negara.
Menurut beliau, kira-kira 4,500 pegawai perubatan kontrak dijangka diserap ke jawatan tetap sepanjang tahun ini, manakala baki akan dilaksanakan secara berperingkat pada 2027 dan 2028.
“Kita sedang berunding dengan kerajaan untuk menetapkan dasar baharu supaya mulai 2028, semua doktor yang selesai menjalani housemanship terus ditawarkan jawatan tetap. Itulah sasaran kita,” katanya dalam program audio siar Edisi Khas Bicara Sihat.
Hasnol turut memaklumkan kerajaan meluluskan pewujudan 800 jawatan pegawai perubatan baharu setiap tahun bagi memenuhi keperluan sektor kesihatan awam.
Pada masa sama, katanya, KKM kini giat mengisi 18,000 kekosongan jawatan melibatkan 86 skim perkhidmatan yang diluluskan bagi tahun 2026 dalam usaha mengatasi kekurangan tenaga kerja dan mengurangkan beban petugas di fasiliti kesihatan.
Beliau turut menepis dakwaan kononnya kementerian membekukan pengambilan kakitangan baharu.
Sebaliknya, Hasnol menjelaskan hampir 60 peratus daripada keseluruhan jawatan berkenaan telah diisi setakat Jun lalu, manakala baki kekosongan dijangka dipenuhi sebelum penghujung tahun melalui proses bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“Tiada pembekuan pengambilan. Sebaliknya, KKM sedang rancak mengisi semua jawatan yang telah diluluskan,” katanya.
Mengulas isu keletihan melampau atau burnout dalam kalangan petugas kesihatan, beliau berkata kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan termasuk meningkatkan jumlah kakitangan, menaik taraf peralatan, memperbaiki persekitaran kerja serta memperkenalkan sistem kerja yang lebih sesuai.
Bagaimanapun, beliau mengakui permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan awam meningkat lebih pantas berbanding kemampuan kementerian melaksanakan perubahan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Hasnol mengakui cabaran terbesar KKM ketika ini ialah menggantikan doktor pakar yang meninggalkan perkhidmatan sama ada kerana bersara, menyambung pengajian atau faktor lain.
Katanya, penghasilan seorang doktor pakar baharu memerlukan tempoh latihan yang panjang, menyebabkan proses mengisi kekosongan tidak boleh dilakukan dalam masa singkat seperti skim perkhidmatan lain.
“Jika kita kehilangan 10 doktor pakar tahun ini, penggantinya mungkin hanya dapat dihasilkan dalam tempoh empat tahun akan datang. Itulah keunikan dan cabaran pengurusan sumber manusia di KKM,” katanya.










