BATU PAHAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau kini menjadi sasaran serangan politik kerana ketegasan Kerajaan Madani dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa tanpa memilih bulu.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, pendirian kerajaan yang tidak berkompromi terhadap amalan menyalahgunakan kuasa, mencuri wang rakyat atau mengaut kekayaan melalui jawatan menyebabkan wujud usaha daripada pelbagai pihak untuk menjatuhkan pentadbirannya.
“Sebab itu sekarang semua parti pakat mahu jatuhkan saya. Kenapa? Sebab mereka tahu kita tegas dan kita jaga semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama PMX di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada Ahad.
Hadir sama Pengarah Komunikasi PH yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Anwar berkata beliau tidak akan tunduk kepada tekanan politik kerana prinsip pentadbirannya jelas, iaitu memastikan pemimpin tidak menggunakan kedudukan untuk memperoleh tanah, projek kerajaan atau pegangan saham bagi kepentingan peribadi.
Beliau turut menegaskan sepanjang beberapa kali berkunjung ke Johor sebagai Perdana Menteri, beliau tidak pernah mengambil sebarang tanah, projek mahupun saham.
“Saya datang ke Johor berkali-kali. Saya ambil tanah? Tidak. Ambil projek? Tidak. Ambil saham? Tidak. Inilah prinsip yang perlu dipegang oleh semua wakil rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar menggesa rakyat Johor memberi peluang kepada PH mentadbir negeri itu supaya agenda pembangunan, kebajikan rakyat serta tadbir urus yang bersih dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, meskipun Johor menerima pelaburan dan projek pembangunan bernilai berbilion ringgit, masih banyak isu asas rakyat yang belum diselesaikan termasuk perumahan mampu milik, kemudahan jalan raya, rumah ibadat dan bantuan kepada golongan memerlukan.
“Johor negeri kaya, tetapi jangan biarkan hanya segelintir menjadi kaya sedangkan ramai rakyat masih bergelut dengan kos hidup,” katanya.
Mengulas kritikan terhadap kerjasama PH dan DAP, Anwar mempertahankan gabungan itu dengan menegaskan sepanjang tiga tahun setengah menerajui kerajaan, tidak pernah ada menteri daripada DAP menentang dasar atau program berkaitan kepentingan Melayu dan Islam.
“Sepanjang saya menjadi Perdana Menteri, belum sekali pun wakil DAP dalam Kabinet menentang program untuk Melayu atau Islam. Rekod itu boleh disemak,” katanya.
Pada akhir ucapannya, Anwar turut melahirkan penghargaan terhadap kehadiran penyokong PH di Senggarang yang disifatkan luar biasa kerana sanggup menunggu dalam cuaca panas untuk menghadiri program berkenaan.
Beliau turut menggesa pengundi di kawasan Senggarang, Rengit dan Penggaram memberikan sokongan kepada calon PH pada PRN Johor bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri.










