Lelaki Malaysia Dicekup Di Macau, Heroin Bernilai RM2.09 Juta Disorok Dalam Tin Pes Tuna

KUALA LUMPUR: Cubaan seorang lelaki warga Malaysia menyeludup hampir tiga kilogram heroin ke Macau gagal apabila dia ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau dengan dadah bernilai kira-kira RM2.09 juta yang disembunyikan dalam tin pes tuna.

Dalam kenyataan, Polis Kehakiman Macau (PJ) memaklumkan suspek berusia 24 tahun itu ditahan pada lewat malam 20 Jun lalu selepas tiba dengan penerbangan dari sebuah negara di Asia Tenggara.

Penahanan dilakukan hasil risikan dan pemantauan berterusan Bahagian Narkotik PJ terhadap kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa.

Pemeriksaan ke atas bagasi milik suspek menemukan 49 kotak biskut tuna yang dibungkus kemas.

Setiap kotak mengandungi dua paket biskut serta satu tin pes tuna.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati beberapa tin itu bukan berisi pes tuna, sebaliknya dipenuhi serbuk putih yang mencurigakan.

Ujian awal menggunakan alat pengesan dadah mengesahkan serbuk berkenaan dipercayai bahan terlarang sebelum analisis Jabatan Sains Forensik PJ mengesahkan ia adalah heroin seberat 2.987 kilogram.

Nilai rampasan dianggarkan mencecah MOP$4.18 juta, bersamaan kira-kira RM2.09 juta.

Siasatan turut mendapati suspek dipercayai direkrut oleh sindiket pengedaran dadah di Malaysia dengan dijanjikan bayaran RM3,000 selepas berjaya menghantar dadah tersebut.

Menurut PJ, lelaki itu diarahkan mengambil bekalan heroin berkenaan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum membawanya masuk ke Macau untuk dihantar ke wilayah berhampiran mengikut arahan sindiket.

Susulan penahanan itu, suspek telah diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Macau untuk didakwa atas kesalahan mengedar dadah narkotik dan bahan psikotropik secara haram.

Di Macau, kesalahan mengedar dadah dikategorikan sebagai jenayah berat dan sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.

BBerkaitan

Latest articles