KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung ketika ini tidak sewajarnya digambarkan sebagai satu pungutan suara atau referendum bagi membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Bekas Penasihat Media Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk A. Kadir Jasin berkata, adalah tidak munasabah untuk menjadikan pengundi ‘Bangsa Johor’ sebagai bahan eksperimen demi kepentingan politik individu tertentu.
”Saya kurang jelas mengapa pengundi Bangsa Johor, dalam PRN mereka, hendak dijadikan tikus makmal atau bahan gadaian bagi membebaskan Mohd Najib, seorang anak Pahang,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa naratif berkenaan sengaja dicipta oleh pihak oportunis bagi meraih keuntungan material daripada kem bekas Ahli Parlimen Pekan itu yang dikenali mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa PRN Johor merupakan titik permulaan kepada proses penyatuan orang Melayu, Kadir menyifatkan naratif tersebut mula popular susulan tindakan Pas yang menggesa penyokongnya mengundi Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, beliau melihat strategi Pas itu lebih kepada cubaan politik untuk menumpang populariti Umno di Johor, selain usaha menyekat kemaraan Pakatan Harapan (PH).
Untuk rekod, sebelum DUN Johor dibubarkan, PH menguasai 12 daripada 56 kerusi yang mana DAP memegang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing memiliki satu kerusi.
Dalam pada itu, Kadir turut bersetuju dengan ramalan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Meng mengenai trend penolakan pengundi kaum Cina dan India terhadap PH ketika ini.
Jelas beliau, kedua-dua komuniti yang sebelum ini menjadi tonggak utama kekuatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini semakin kecewa dengan prestasi gabungan itu.
”Orang Cina hampa kerana kegagalan PH melakukan reformasi institusi, janji pilihan raya tidak terlaksana dan tanggapan Kerajaan Madani terlalu bertolak ansur dengan agenda ‘puak kanan’ nasionalis Melayu.
”Ketidakpuasan orang India pun lebih kurang sama melibatkan persepsi janji tidak ditunaikan, peminggiran ekonomi, ketiadaan reformasi struktural dan isu sensitif melibatkan kuil,” ujarnya.
Kadir menambah, perkembangan politik semasa mungkin mendorong DAP untuk mengikut jejak langkah BN bagi bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Langkah itu dilihat relevan memandangkan prestasi PKR dan Amanah yang disifatkannya semakin ‘longlai’, selain faktor pengundi Cina yang mula tawar hati.
”Kesimpulannya, senario ini sekadar memperkukuhkan trend yang kita sudah lihat dalam PRU 2022, PRN enam negeri pada 2023 dan PRN Sabah sebelum ini.
”Cuma, Johor ini adalah kubu Umno. Jadi, tidaklah memeranjatkan kalau BN mengekalkan malah memperbaiki pencapaiannya,” katanya lagi.










