KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi DAP, Liew Chin Tong mendakwa sasaran Parti Bersama Malaysia untuk meraih sekurang-kurangnya 15 peratus undi di setiap kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar usaha membina kekuatan parti, sebaliknya bertujuan melemahkan peluang Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, sasaran yang diumumkan pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli itu dilihat sebagai strategi untuk menghakis undi PH, sekali gus menyukarkan gabungan tersebut memenangi kerusi yang ditandingi pada pilihan raya 11 Julai ini.
Liew berkata, Rafizi yang berpengalaman dalam menganalisis data pilihan raya sememangnya memahami kesan pemecahan undi terhadap keputusan sesuatu kerusi.
“Beliau tahu bagaimana data pilihan raya berfungsi. Dengan memperoleh sekitar 15 peratus undi, Bersama berupaya mengurangkan sokongan kepada PH dan menjejaskan peluang calon gabungan itu untuk menang,” katanya seperti dipetik Sin Chew Daily.
Menurut Liew lagi, sekiranya strategi itu berjaya, Rafizi berkemungkinan mahu membuktikan bahawa beliau masih mempunyai pengaruh besar dalam landskap politik negara.
“Jika beliau berjaya menjejaskan prestasi PH, ia akan menjadi bukti bahawa beliau masih memiliki kekuatan politik,” katanya.
Sehubungan itu, Liew menyeru para pengundi supaya memberikan sokongan padu kepada PH bagi mengelakkan perpecahan undi yang boleh menguntungkan pihak lawan.
Beliau turut menyifatkan PRN Johor sebagai medan penting yang bakal menjadi petunjuk awal kepada corak sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pada Mei lalu, Rafizi bersama Nik Nazmi Nik Ahmad mengambil alih kepimpinan Parti Bersama Malaysia yang kemudian membuat penampilan sulung dalam pilihan raya menerusi PRN Johor.
Bersama mempertaruhkan 15 calon pada pilihan raya kali ini.
Dalam PRN Johor, PH dan Barisan Nasional (BN) masing-masing bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon di 33 kerusi menerusi Bersatu (16), PAS (11), Parti Rakyat India Malaysia (lima) dan Pejuang (satu).
Selain itu, MUDA, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Orang Asli Malaysia (POAM) masing-masing bertanding satu kerusi, manakala enam calon bebas turut menawarkan diri kepada pengundi.










