“Bila Kali Terakhir Kamu Wujudkan Tanah Rizab Melayu?” Anwar Cabar ‘Juara Melayu’

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang lantang melaungkan slogan mempertahankan ketuanan Melayu ketika musim pilihan raya, namun didakwanya gagal mempertahankan kepentingan sebenar orang Melayu termasuk isu tanah rizab.

Menurut beliau, perjuangan membela Melayu tidak boleh sekadar dijadikan retorik politik untuk meraih undi, sebaliknya perlu dibuktikan melalui dasar serta tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Anwar berkata, adalah tidak wajar mana-mana pihak berulang kali mengangkat slogan “hidup Melayu” ketika berkempen, tetapi selepas memperoleh kuasa, peluang ekonomi, kontrak, projek dan aset yang sepatutnya memanfaatkan orang Melayu akhirnya dikuasai pihak tertentu.

“Saya ingin bertanya kepada parti-parti yang sering bercakap mengenai ketuanan Melayu, bilakah kali terakhir mereka mewujudkan tanah rizab Melayu? Apa yang saya tahu, banyak tanah rizab Melayu akhirnya terlepas kepada pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra PMX Bersama Belia Johor sempena Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Johor 2026 di Taman Melor, Tampoi, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari.

Dalam ucapannya, Anwar berkata kerajaan pimpinannya telah mengambil langkah yang disifatkan bersejarah apabila mengisytiharkan kawasan seluas 20.23 hektar di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu.

Menurut beliau, keputusan itu merupakan kali pertama dibuat oleh kerajaan Persekutuan sejak negara mencapai kemerdekaan, sekali gus menjadi bukti komitmen kerajaan mempertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera.

Katanya, projek Bandar Malaysia yang dibangunkan di tapak bekas Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi itu dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar mencecah RM140 bilion.

Pada masa sama, Anwar menegaskan usaha memperkukuh kedudukan Bumiputera tidak bermaksud hak masyarakat lain dipinggirkan, sebaliknya pembangunan perlu dinikmati secara adil oleh semua kaum.

“Kita tidak menghalang pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat Cina atau India supaya mereka juga merasakan ada tempat dalam pembangunan negara. Namun, jangan jadikan slogan ketuanan Melayu semata-mata sebagai alat politik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif, termasuk pelancaran program SParK 2026: Transformasi Niaga oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Melalui program itu, PUNB menyasarkan pembiayaan sehingga RM2.25 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk membantu memperkasa usahawan Bumiputera di seluruh negara.

Anwar menegaskan, pembelaan terhadap orang Melayu tidak memerlukan slogan yang berlebihan, sebaliknya harus diterjemahkan menerusi dasar, peluang ekonomi dan tindakan yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

BBerkaitan

Latest articles