Sekretariat Dakwa Cubaan Kelirukan Rakyat Melalui Doa Khutbah, Laporan Polis Dibuat

SEREMBAN: Sebuah sekretariat yang menyatakan sokongan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir,
membuat laporan polis berhubung satu insiden yang didakwa berlaku ketika Solat Jumaat di Masjid Undang Jelebu, Kuala Klawang pada 19 Jun lalu.

Menurut Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, laporan itu dibuat susulan tindakan seorang imam yang didakwa membacakan doa untuk seorang individu yang mengaku sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan semasa khutbah Jumaat.

Pengerusinya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berpendapat tindakan berkenaan merupakan perkara serius yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap institusi diraja negeri serta mencetuskan provokasi dalam kalangan masyarakat.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, sekretariat itu menegaskan bahawa ketetapan rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri menetapkan doa dalam khutbah Jumaat hendaklah dibacakan untuk Tuanku Muhriz selaku pemerintah yang sah dan diiktiraf.

Mereka turut mendakwa insiden tersebut telah menimbulkan perdebatan serta ketegangan dalam kalangan pengguna media sosial sehingga mencetuskan pertelingkahan berkaitan isu takhta Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, sekretariat berkenaan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama negeri menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang jika terdapat unsur pelanggaran yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Malah, mereka mendakwa menerima maklumat bahawa insiden sama berpotensi berulang di sebuah masjid dalam kawasan Luak Rembau pada Jumaat ini, sekali gus menggesa langkah pencegahan segera dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau ketegangan dalam masyarakat.

Selain itu, sekretariat turut menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya terus bertenang dan mengekalkan taat setia kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

BBerkaitan

Latest articles