Lim Guan Eng, Isteri Dan Phang Gagal Batalkan Pertuduhan, Perbicaraan Diteruskan

PUTRAJAYA,— Kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew Gek Cheng serta ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung projek penempatan pekerja asing bernilai RM11.6 juta akan diteruskan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Perkara itu diputuskan Mahkamah Rayuan selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah, bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, menolak rayuan dikemukakan ketiga-tiga individu berkenaan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi mereka.

Keputusan tersebut sekali gus mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 3 Mei 2024 yang menolak permohonan sama.

Dalam keputusan terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa doktrin autrefois acquit atau prinsip larangan pendakwaan dua kali yang dihujahkan pihak pembelaan tidak terpakai kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan undang-undang.

Pada 26 Mei 2023, Lim, Chew dan Phang memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram atas alasan pihak pendakwaan menggunakan bukti yang dikaitkan dengan kes terdahulu melibatkan pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn oleh Lim, yang berakhir dengan keputusan dilepas dan dibebaskan pada tahun 2018.

Mengikut pertuduhan, Lim yang ketika itu memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tender Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM372,009 bagi pihak isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Beliau didakwa berbuat demikian dengan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd dianugerahkan projek Cadangan Penempatan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah serta sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan yang bernilai RM11.61 juta, sedangkan Chew didakwa mempunyai kepentingan tidak langsung dalam projek tersebut.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara 19 Ogos 2013 hingga 3 Mac 2016 di Pejabat Ketua Menteri di Aras 28, Komtar, George Town.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles