Kerajaan Perkukuh Keselamatan Air, Sedia Tampung Pertumbuhan Industri dan Pusat Data

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Kerajaan mengambil pendekatan jangka panjang bagi memastikan keselamatan sumber air di Johor terus terjamin selaras dengan pertumbuhan pesat sektor perindustrian, pembangunan bandar serta kemasukan pelaburan strategik termasuk pusat data.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ,Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof berkata, berdasarkan laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), jumlah pengambilan air mentah di Johor ketika ini mencecah 2,052 juta liter sehari (JLH).

Menurut beliau, kerajaan sedang mempergiat usaha memperkukuh kapasiti sumber air mentah dan sistem bekalan air negeri menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik termasuk pembangunan empangan baharu, Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), baraj serta infrastruktur penyaluran air mentah.

“Selain memperkukuh sumber air mentah, kerajaan bersama operator air negeri turut meneliti keperluan peningkatan kapasiti sistem bekalan dan loji rawatan air secara berperingkat berdasarkan unjuran permintaan semasa dan masa hadapan,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by TRI (@therakyatinsight)


Beliau berkata, sebanyak empat projek Loji Rawatan Air (LRA) di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti bekalan air terawat di Johor.

Dalam pada itu, kerajaan turut melihat penggunaan air pulih guna sebagai komponen penting dalam strategi jangka panjang keselamatan air, khususnya bagi sektor industri yang memerlukan penggunaan air yang tinggi seperti pusat data.

Katanya, pendekatan berkenaan mampu mengurangkan kebergantungan kepada sumber air terawat selain mengoptimumkan penggunaan sumber air sedia ada secara lebih mampan.

Sebagai contoh, melalui kerjasama strategik antara Indah Water Konsortium (IWK) dan Johor Special Water (JSW), sebanyak 12 JLH air pulih guna berkualiti tinggi kini dibekalkan untuk kegunaan sistem penyejukan pusat data di Johor.

“Inisiatif ini membuktikan sumber air alternatif berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam menyokong pertumbuhan industri tanpa menjejaskan keutamaan bekalan air kepada rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa gabungan pembangunan sumber air baharu, peningkatan kapasiti sistem bekalan, pembinaan loji rawatan air serta penggunaan sumber air alternatif diyakini mampu memastikan keperluan bekalan air Johor terus dipenuhi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.

BBerkaitan

Latest articles