Pelajar Wanita Warga Asing Ditemui Maut Di Kondominium, Rakan Ditahan

PETALING JAYA: Seorang pelajar wanita warga asing berusia lingkungan 20-an ditemukan maut di sebuah unit kondominium di Bandar Sunway, semalam, kini disiasat sebagai kes bunuh.

Susulan penemuan itu, polis menahan seorang penuntut lelaki warga asing yang juga berusia 20-an dan belajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang sama bagi membantu siasatan.

Selain itu, beberapa barang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian turut dirampas untuk tujuan forensik dan siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 11.03 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

Menurut beliau, pemeriksaan awal ke atas mangsa mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuh wanita berkenaan, sekali gus menimbulkan unsur jenayah yang memerlukan siasatan menyeluruh.

“Motif kejadian masih belum dapat dipastikan dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat yang dijadualkan berlangsung esok bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Dalam pada itu, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Surianti Lataera di talian 013-3352547.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan bahan berkaitan kes di media sosial kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles