KUALA LUMPUR: Keberanian luar biasa seorang pemandu lori yang sanggup mempertaruhkan keselamatan dirinya demi mengelakkan tragedi jalan raya berhampiran Terowong Menora, Perak, mendapat pengiktirafan kerajaan apabila beliau menerima Sijil Penghargaan Khas serta wang sagu hati RM10,000 hari ini.
Penghargaan tersebut disampaikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kepada Wong Tuck Meng, 40, yang bertindak pantas membantu mengawal sebuah bas ekspres yang hilang kawalan ketika menuruni bukit pada 15 Jun lalu.
Menurut Anthony, tindakan berani Tuck Meng berjaya mengelakkan satu kemalangan yang berpotensi meragut banyak nyawa apabila bas yang membawa 21 penumpang itu mengalami masalah teknikal sebelum hilang kawalan sepenuhnya.
“Kecekapan dan keberanian beliau mengambil tindakan segera walaupun berdepan risiko terhadap dirinya sendiri telah mengelakkan satu tragedi besar. Ramai nyawa berjaya diselamatkan hasil keputusan pantas yang dibuat pada saat genting,” katanya ketika majlis penghargaan khas yang berlangsung di Bangunan Parlimen, hari ini.
Mengulas kejadian itu, Anthony berkata bas yang dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur berdepan kerosakan teknikal ketika melalui laluan menuruni bukit berhampiran Terowong Menora, menyebabkan pemandunya gagal mengawal kenderaan berkenaan.
Dalam situasi cemas itu, Tuck Meng menggunakan kebijaksanaan dan ketenangannya dengan membenarkan bas berkenaan bergesel serta berpaut pada bahagian belakang lorinya bagi mengurangkan kelajuan.
Beliau kemudian bertindak merapatkan lori ke arah rel penghadang jalan, sekali gus membantu memperlahankan momentum bas sebelum berjaya menghentikannya dengan selamat tanpa sebarang insiden lebih buruk berlaku.
Sementara itu, Tuck Meng berkata tindakannya ketika itu dilakukan secara spontan kerana hanya memikirkan keselamatan pengguna jalan raya lain dan penumpang bas terbabit.
“Saya cuma fikir bagaimana untuk mengelakkan kemalangan yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Ketika itu saya sempat membunyikan hon bagi memberi amaran kepada kenderaan di hadapan supaya mereka dapat mengelak lebih awal,” katanya.
Terdahulu, Dewan Rakyat turut merakamkan penghargaan kepada Tuck Meng atas keberaniannya. Pengiktirafan itu disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor selepas sesi pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.
Dalam ucapannya di Dewan Rakyat, Anthony turut menyifatkan Tuck Meng sebagai “wira negara” yang menjadi contoh terbaik semangat kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.
Sebelum ini, rakaman video detik cemas kejadian berkenaan tular di media sosial dan mengundang pujian meluas daripada rakyat Malaysia yang menyifatkan tindakan Tuck Meng sebagai keberanian luar biasa dalam menyelamatkan nyawa orang ramai.










