GURUN: Sesi latihan ketenteraan di Lapang Sasar Kem Hobart hari ini bertukar tragedi apabila dua anggota tentera maut selepas dipercayai terlibat dalam satu insiden letupan membabitkan bahan letupan semasa latihan, tengah hari tadi.
Mangsa yang terdiri daripada seorang anggota lelaki dan seorang anggota wanita dilaporkan mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Beliau bagaimanapun belum mengulas lanjut berhubung punca kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Setakat ini, identiti mangsa serta butiran lanjut mengenai latihan yang sedang dijalankan masih belum didedahkan.










