KUALA LUMPUR: Rundingan pembahagian kerusi antara parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan kini memasuki fasa penamat apabila keputusan muktamad dijangka dicapai minggu hadapan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perbincangan yang sedang berlangsung itu menunjukkan perkembangan positif dan hanya menunggu proses akhir sebelum dimuktamadkan.
Menurut beliau, rundingan berhubung pengagihan kerusi di kedua-dua negeri berkenaan berjalan seperti dirancang dan dijangka selesai dalam masa terdekat.
“Kita masih dalam proses rundingan dan insya-Allah segala perkara berkaitan akan dimuktamadkan minggu hadapan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Tribunal Antibuli, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan rundingan kerusi antara parti komponen gabungan itu berlangsung tanpa sebarang masalah besar, malah beliau yakin isu pertindihan kerusi tidak akan timbul menjelang PRN berkenaan.
PRN Negeri Sembilan akan diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Jun lalu.
Pengumuman mengenainya dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai tarikh pembubaran yang berlarutan sejak beberapa minggu.
Negeri Sembilan menjadi negeri kedua yang membubarkan DUN bagi membuka laluan kepada pilihan raya selepas Johor mengambil langkah sama lebih awal.
Dalam perkembangan berkaitan, Asyraf Wajdi berkata, BN telah menetapkan pendekatan kempen yang lebih berfokus kepada dasar dan agenda pembangunan rakyat, tanpa menjadikan serangan peribadi atau usaha memburukkan pihak lawan sebagai bahan kempen.
Katanya, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi memastikan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus dihormati sepanjang tempoh berkempen.
“Keutamaan kita adalah menjelaskan dasar dan tawaran yang mampu memberi manfaat kepada rakyat. Presiden UMNO juga telah mengingatkan supaya semua pihak mengelakkan serangan peribadi serta tidak membuka aib mana-mana individu atau parti,” katanya.
Mengulas kemungkinan Melaka menjadi negeri seterusnya membubarkan DUN, beliau berkata perkara tersebut terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.










