KULAI: Selepas beberapa hari saling berbalas kenyataan dan sindiran di media sosial, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akhirnya bertemu secara terbuka dalam suasana mesra pada Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Kereta Api Kulai, hari ini.
Majlis yang dianjurkan Kementerian Pengangkutan itu menyaksikan Anthony Loke tiba sekitar jam 12.45 tengah hari sebelum disusuli Onn Hafiz kira-kira lima minit kemudian.
Turut hadir ialah EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta beberapa pemimpin DAP.
Kehadiran kedua-dua pemimpin berkenaan menarik perhatian apabila mereka dilihat berjabat tangan dan berbual dalam suasana santai sebelum menyampaikan ucapan masing-masing.
Dalam ucapannya, Onn Hafiz mengalu-alukan kehadiran Loke dan delegasi kementeriannya ke Johor.
Beliau berkata, jadualnya turut disusun semula selepas menerima jemputan menghadiri program tersebut dalam tempoh singkat.
Menurut beliau, walau apa jua keadaan yang berlaku, kepentingan rakyat perlu terus diutamakan dan semua pihak harus menjalankan tanggungjawab secara profesional demi memastikan pembangunan serta kesejahteraan negeri terus terpelihara.
Kontroversi antara kedua-dua pemimpin itu bermula apabila Onn Hafiz, ketika melancarkan Jentera Barisan Nasional (BN) Johor di Iskandar Puteri pada 7 Jun lalu, menegaskan BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Malah, beliau yang juga Pengerusi BN Johor ketika itu menyatakan sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar berbanding bekerjasama dengan DAP dalam pentadbiran negeri.
Kenyataan tersebut kemudiannya mengundang reaksi balas daripada Anthony Loke yang menyifatkan pendirian itu tidak selari dengan kerjasama sedia ada antara BN dan DAP dalam Kerajaan Persekutuan.
Setiausaha Agung DAP itu turut menyindir dengan merujuk hubungan kerja rapat antara pimpinan tertinggi kedua-dua parti di peringkat nasional.
Pertukaran kenyataan itu berlarutan apabila Loke pada Sabtu lalu secara terbuka mengundang Onn Hafiz menaiki perkhidmatan KTM Komuter baharu sempena pelancaran hari ini.
Onn Hafiz kemudian menyambut jemputan tersebut dengan nada sinis apabila menyatakan beliau “terharu” kerana akhirnya dijemput, namun mendakwa belum menerima surat rasmi walaupun lawatan kerja berkenaan telah dirancang lebih awal.
Beliau turut mempersoalkan beberapa program dan lawatan kerja Loke di Johor sebelum ini yang didakwa tidak melibatkan kerajaan negeri atau EXCO berkaitan.
Bagaimanapun, Loke menjelaskan bahawa beliau kebiasaannya tidak menjemput Menteri Besar ke lawatan kerja kerana memahami kesibukan tugas yang perlu dipikul pemimpin negeri itu.










