Anwar: Pembangunan Negara Mesti Dirasai Semua Lapisan, Bukan Kelompok Tertentu

MUAR: Pembangunan negara tidak seharusnya hanya memberi manfaat kepada golongan tertentu, sebaliknya perlu dinikmati secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat termasuk nelayan, petani, pesawah, pekebun kecil serta golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap dasar dan agenda pembangunan kerajaan mesti memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi dengan memastikan kemudahan serta bantuan dapat disalurkan secara adil dan berkesan.

Menurut beliau, pemimpin di semua peringkat perlu turun padang untuk mendengar sendiri keluhan rakyat dan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi mereka.

“Saya sentiasa mengingatkan anggota Jemaah Menteri dan pimpinan supaya turun ke lapangan, mendengar suara rakyat dan berusaha menyelesaikan isu yang mereka hadapi. Saya tidak percaya Malaysia sebuah negara yang terlalu miskin sehingga tidak mampu membantu rakyat, tetapi urusan pentadbiran perlu diperbaiki dan diperkemaskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Bersama Nelayan, Petani dan Penduduk di Pantai Leka, Parit Jawa, semalam.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa seseorang pemimpin perlu mempunyai keberanian untuk menyuarakan masalah rakyat dan bukannya sekadar mengiyakan setiap perkara tanpa mempertahankan kepentingan masyarakat yang diwakili.

Katanya, ketua kampung, penghulu dan pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan sebagai suara rakyat dengan membawa isu-isu yang membelenggu golongan bawahan kepada perhatian pihak berkuasa.

“Kalau nelayan menghadapi kesukaran, pemimpin mesti berani menyuarakannya. Jika perlu turun ke kawasan, turunlah. Jika perlu membawa masalah itu ke peringkat lebih tinggi, lakukanlah. Itulah tanggungjawab sebenar seorang pemimpin,” katanya.

Beliau menambah, keberanian dan keprihatinan terhadap nasib rakyat merupakan ciri penting yang perlu ada pada setiap pemimpin bagi memastikan pembangunan negara benar-benar memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang atau kedudukan ekonomi.

BBerkaitan

Latest articles