MIC Kekal Bersama BN, Hormati Keputusan PN Batalkan Pelawaan Sertai Gabungan

IPOH: MIC menghormati keputusan Perikatan Nasional (PN) yang tidak lagi meneruskan pelawaan kepada parti itu untuk menyertai gabungan berkenaan, sambil menegaskan hubungan baik dengan semua komponen pembangkang tetap terpelihara.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, MIC sebelum ini sememangnya bersedia mempertimbangkan penyertaan ke dalam PN apabila pelawaan tersebut dikemukakan di bawah kepimpinan terdahulu yang diterajui Bersatu.

Namun, katanya, tiada keputusan muktamad dicapai ketika itu sebelum berlaku perubahan dalam struktur kepimpinan gabungan berkenaan.

Menurut beliau, mandat yang diberikan oleh akar umbi MIC untuk meneliti tawaran tersebut adalah berdasarkan kepimpinan PN pada ketika itu dan keadaan semasa kini telah berubah. Justeru, parti itu menerima keputusan terbaru PN tanpa sebarang pertikaian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Keluarga MIC sempena ulang tahun ke-80 parti itu di Taman DR Seenivasagam, hari ini.

Pada 17 Mei lalu, media melaporkan keputusan PN untuk menerima MIC sebagai anggota gabungan itu dianggap terbatal dan tidak lagi relevan susulan ketiadaan pengesahan rasmi daripada parti berkenaan.

Keputusan tersebut dimaklumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas diputuskan Majlis Tertinggi PN.

Mengulas kedudukan MIC dalam kerajaan perpaduan, Vigneswaran menegaskan parti itu akan terus bersama Barisan Nasional (BN) meskipun tidak memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

Katanya, perjuangan MIC tidak bergantung kepada kedudukan atau jawatan kerana keutamaan parti adalah mempertahankan hak serta kepentingan semua kaum dalam negara.

“Jawatan bukan ukuran utama perjuangan. Apa yang lebih penting ialah memastikan hak rakyat pelbagai kaum terus terpelihara. Walaupun tidak berada dalam kerajaan, MIC tetap mampu memainkan peranan dan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa MIC sudah tidak relevan dalam politik semasa.

Sebaliknya, katanya, parti berasaskan kaum masih mempunyai fungsi penting sebagai saluran untuk membincangkan keperluan dan cabaran yang dihadapi komuniti tertentu dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Menurutnya, kerjasama antara parti-parti komponen BN membolehkan isu melibatkan pelbagai kaum dibincangkan secara bersama sebelum penyelesaian terbaik dicapai berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta semangat kontrak sosial yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Sementara itu, menyentuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, Vigneswaran berkata MIC lebih mengutamakan kemenangan BN berbanding jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu.

Beliau berkata, setiap parti sememangnya mahu bertanding lebih banyak kerusi, namun strategi terbaik adalah memastikan kerusi yang ditandingi mempunyai peluang kemenangan yang tinggi demi mengekalkan penguasaan BN di Johor.

“Matlamat utama adalah memastikan BN terus mendapat mandat mentadbir Johor. Sebab itu pemilihan calon dan kerusi perlu dibuat berdasarkan potensi kemenangan, bukannya sekadar mengejar jumlah kerusi yang banyak,” katanya.

Menurut beliau, rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Johor telah pun dijalankan dan setakat ini berjalan lancar. Beliau turut menjangkakan proses rundingan untuk PRN Melaka tidak akan berdepan sebarang masalah.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi BN untuk mengumumkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diperuntukkan kepada MIC.

Terdahulu, BN Johor mengumumkan hasrat untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada pilihan raya negeri akan datang.

Pada PRN Johor 2022, BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan memperoleh 12 kerusi, PN tiga kerusi dan Muda satu kerusi.

DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tiada pembubaran lebih awal dilakukan.

BBerkaitan

Latest articles