Ahmad Zahid Jumpa Ismail Selepas Dakwaan Didesak Tanda Tangan Dokumen

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bertemu dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dakwaan beliau didesak menandatangani satu perisytiharan kontroversi.

Dokumen perisytiharan berkenaan dikaitkan dengan desas-desus usaha penyingkiran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ahmad Zahid berkata pertemuan itu dijangka berlangsung pada bila-bila masa sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Beliau (Ismail) sudah tentu akan bertemu saya sepanjang perhimpunan agung ini dan penjelasan akan diberikan oleh beliau.

“Saya akan bertanyakan latar belakang kenyataan beliau itu,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Pertemuan itu susulan pendedahan dan kenyataan penafian yang dibuat oleh Ismail semalam, yang mendakwa beliau telah menandatangani Surat Cara Proklamasi berkenaan di bawah tekanan dan paksaan.

Ismail dilaporkan berkata, tindakan tersebut dibuat tanpa kerelaan matlamat asalnya, selain menyangkal penglibatannya dalam sebarang usaha menderhaka atau menyingkirkan baginda.

“Saya tegaskan bahawa saya telah menandatangani dokumen tersebut di bawah paksaan dan tekanan (under duress). Ia tidak mencerminkan pendirian sebenar saya mahupun kerajaan negeri.

“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ismail turut mengesahkan beliau telah membuat laporan polis berhubung tekanan yang diterimanya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan pihak kepimpinan parti akan mendengar sendiri penjelasan rasmi daripada Ismail sebelum membuat sebarang ketetapan atau ulasan lanjut berhubung isu berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles