KUALA LUMPUR: Wanita UMNO menegaskan jasa dan sumbangan Datuk Seri Najib Razak kepada parti serta negara tidak wajar dipadam hanya kerana beliau kini berdepan proses perundangan.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu mempunyai rekod sumbangan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan pembangunan negara, termasuk dalam aspek ekonomi, infrastruktur dan kebajikan rakyat.
Menurutnya, perubahan landskap politik tidak seharusnya menyebabkan segala jasa pemimpin terdahulu dilupakan begitu sahaja.
“Wanita UMNO tahu mengenang jasa. Kita tidak perlu memadam sejarah untuk membina masa depan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2026, hari ini.
Noraini berkata, sumbangan Najib dalam melaksanakan transformasi ekonomi, pembangunan infrastruktur serta pelbagai inisiatif membantu rakyat merupakan sebahagian daripada sejarah negara yang tidak boleh dinafikan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Wanita UMNO menghormati proses undang-undang yang sedang dilalui Najib dan tidak mencampuradukkan penghormatan terhadap institusi perundangan dengan nilai kemanusiaan.
“Proses undang-undang tidak menghalang kita daripada mempunyai nilai kemanusiaan,” katanya.
Noraini turut menyatakan solidariti Wanita UMNO terhadap keluarga Najib yang menurutnya sedang berdepan tempoh sukar, selain mendoakan mereka terus diberikan kekuatan dan ketabahan.
“Kita terus berdoa supaya pintu keadilan dan ihsan dibuka supaya beliau dapat kembali ke pangkuan keluarga serta bersama-sama meneruskan perjuangan,” katanya.










