KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO mahu memainkan peranan sebagai “jambatan” antara parti dan rakyat, khususnya pengundi muda, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, kelebihan sayap itu terletak pada kedudukannya yang dekat dengan pelbagai kelompok umur serta kemampuannya memahami bahasa dan corak pemikiran generasi muda.
Menurutnya, Puteri tidak seharusnya sekadar menjadi jentera pilihan raya, sebaliknya perlu berperanan menyampaikan denyut nadi rakyat kepada kepimpinan parti supaya setiap keputusan yang dibuat benar-benar mengambil kira kehendak masyarakat.
“Puteri kena menjadi jambatan antara rakyat dan parti. Puteri juga kena menjadi jambatan antara generasi dengan parti.
“Peranan Puteri adalah memahamkan parti apa yang sedang dibualkan oleh rakyat, apa yang sedang menjadi perhatian orang muda dan rakyat Malaysia supaya apabila sampai masa membuat keputusan, parti tahu apa yang perlu diputuskan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2026 di sini.
Mengulas persiapan menghadapi PRN Melaka, Nurul Amal berkata, kekuatan sebenar sesebuah parti tetap bergantung kepada sokongan rakyat kerana kuasa pengundi jauh lebih besar daripada kuasa politik.
“Semangat itu dibawakan oleh rakyat sebenarnya. Kita tidak boleh menafikan kuasa rakyat lebih besar daripada kuasa orang politik.
“Orang politik yang kena mendengar suara rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Puteri juga boleh menjadi penghubung yang lebih efektif kerana karakter wanita muda membolehkan mereka mendekati pengundi daripada pelbagai kelompok umur.
Katanya, wakil Puteri berusia 30-an misalnya boleh menjadi “kakak” kepada pengundi berusia 20-an, manakala kepada pengundi berusia 40-an atau 50-an, mereka pula boleh dilihat sebagai anak atau adik.
“Wanita muda ini jangan dipandang remeh. Kehidupan muda inilah yang banyak struggle, tetapi banyak juga perjuangan yang tidak dibicarakan,” katanya.
Dalam masa sama, Nurul Amal mengakui corak sokongan pengundi muda tidak statik dan mereka semakin banyak membuat penilaian melalui media sosial.
Justeru, katanya, penggunaan media sosial bukan lagi sekadar kelebihan tambahan dalam kempen politik, sebaliknya satu keperluan untuk membolehkan calon mendekati pengundi muda.
“Pengundi orang muda ini pengundi senyap. Kita susah nak jumpa mereka secara fizikal.
“Kempen dari segi media sosial bukan satu bonus tetapi satu keperluan untuk orang muda mengenali kita dengan lebih dekat, termasuk karakter sebenar calon,” katanya.
Ditanya mengenai harapan Puteri berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dijadual membincangkan permohonan Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata pihaknya mengharapkan yang terbaik dan mendoakan segala urusan dipermudahkan.










