Hannah Sahkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Esok, Enggan Ulas Isu Najib

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh enggan mengulas sama ada permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah akan dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan esok.

Sebaliknya, Hannah hanya mengesahkan beliau antara individu yang dipanggil menghadiri mesyuarat berkenaan yang dijadual berlangsung pada jam 8.30 pagi.

“Ya, saya boleh sahkan esok 8.30 pagi ada mesyuarat pengampunan. Kita sudah dipanggil dan itu sahaja setakat ini yang saya boleh berikan kepada anda semua,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Fasa Ke-8 Program Mamogram Percuma Etiqa dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), hari ini.

Hannah terus mengunci mulut ketika ditanya sama ada mesyuarat itu akan membabitkan permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

“Agenda mesyuarat” berkenaan menjadi perhatian selepas laporan sebelum ini menyebut Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka bersidang esok bagi mempertimbangkan beberapa perkara, termasuk permohonan bekas Perdana Menteri itu berkaitan sabitan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Bagaimanapun, tempoh hukuman penjara beliau kemudian dikurangkan sebanyak separuh kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

BBerkaitan

Latest articles