KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mahu kepimpinan parti menolak cadangan untuk menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya menjadikan pilihan raya itu medan memperkukuh agenda penyatuan ummah.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, UMNO perlu menggunakan kebijaksanaan politik bagi memastikan pendekatan yang diambil mendapat sokongan lebih kukuh daripada akar umbi.
Menurutnya, PRN Melaka bukan sekadar medan untuk merebut kuasa, tetapi ujian kepada kemampuan UMNO menterjemahkan agenda penyatuan ummah daripada slogan kepada dasar dan realiti kehidupan rakyat.
“Melaka bukan sekadar kita mahu hadapi pilihan raya, namun menjadi medan ujian kita sama ada mampu menukarkan kesedaran menjadi dasar dan kehidupan.
“Di Johor, kita sudah mula dan Negeri Sembilan pun sudah dibuktikan. Kedua-dua negeri ini sudah menjadi ‘biru’.
“Maka, minta jasa baik Datuk Seri (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Melaka juga wajib kita ‘birukan’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung sayap itu, hari ini.
Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, pendekatan penyatuan ummah turut menunjukkan penerimaan yang tinggi dalam kalangan pengundi muda berdasarkan keputusan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, hampir 95 peratus pengundi di saluran muda di Johor menyokong gabungan berkenaan, manakala di Negeri Sembilan, lebih 95 peratus pemilih daripada kategori sama turut memberikan sokongan.
“Di Melaka, insya-Allah Pemuda UMNO sudah bersedia untuk mengulangi dan ‘membirukan’ bandar warisan dunia itu,” katanya.
Turut hadir pada perhimpunan berkenaan ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin serta beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.










